[Video] Peluncur udara maut, ditemukan tersangkut atas pokok balak
[Video] Peluncur udara maut, ditemukan tersangkut atas pokok balak
Selanjutnya di: https://pakdin.my/158280 ...
HULU SELANGOR: Seorang lelaki warga Pakistan maut selepas mengalami kecederaan ketika melakukan aktiviti luncur udara (paragliding) di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu.
Mangsa, Mohammad Farhad Khalid, 44, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian setelah ditemukan tersangkut di pokok balak pada ketinggian 12 meter (m) di tepi cerun bukit.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata terdahulu mangsa yang dijumpai kira-kira jam 4.50 petang didapati patah kaki dan mengalami pendarahan.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.56 petang, sebelum sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi.
"Menurut laporan awal, akses ke pokok balak itu melalui trek 'hiking' sejauh 100m dari tapak 'take off' Bukit Batu Pahat.
"Setiba pasukan di tempat kejadian, mangsa yang mengalami kecederaan didapati tidak sedarkan diri, dan usaha menurunkannya dari pokok dilakukan segera," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Norazam berkata, pasukan mengambil masa kira-kira dua jam untuk menurunkan mangsa dari pokok balak terbabit.
Malah, beliau berkata, penduduk Orang Asli dari sekitar kawasan kejadian turut membantu usaha pihak bomba itu.
"Mereka memanjat pokok balak dan mengikat mangsa menggunakan 'webbing paragliding' bagi mengelakkan mangsa terjatuh," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa disahkan sudah meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu.
Comments
Post a Comment