Mangsa bot berlanggar di Batang Igan ditemui menggunakan 'sait'

MUKAH - Mayat seorang lelaki yang hilang selepas dua bot berlanggar di Sungai Igan, di daerah kecil Igan semalam ditemukan hari ini.

Mayat mangsa, Sulai Api, 55, ditemui penduduk kampung yang menjalankan usaha mencari dengan kaedah 'sait' (menggunakan rotan yang ditarik di dasar sungai) kira-kira 500 meter dari lokasi pelanggaran di Kampung Kebuau, dalam daerah Matu itu.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke pangkalan feri Igan untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, bot yang dinaiki mangsa telah berlanggar dengan bot yang dinaiki oleh dua lelaki lain iaitu Borhan Bisei, 27 dan Roslan Macan, 30-an pada lebih kurang 5.30 petang Sabtu.

Kedua-dua lelaki itu terselamat namun Sulai hilang selepas perlanggaran itu.

Polis Daro yang menerima laporan tersebut kemudiannya memaklumkan pihak Bomba Mukah pada pukul 10.34 malam bagi memohon bantuan mencari dan menyelamat mangsa.

JBPM yang menghantar sebuah bot dengan lima anggota memulakan operasi mencari dan menyelamat pada 8.45 pagi hari ini.

Turut membantu, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan sebuah bot, tiga anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Matu dan kira-kira 100 penduduk kampung yang menggunakan 40 bot.

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga pasangan negara mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia

Malaysia Milk tarik balik penjualan produk Marigold HL