Pembangkang Yang Bankrap, Bukan Kerajaan

Isu Malaysia akan menjadi bankrap, bukan isu baru malah fitnah tersebut sudah kedengaran sejak tahun lepas lagi.

Jika mengambil kira apa yang dikatakan oleh pembangkang dan penyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad (Pakatun), negara ini sudah beberapa kali bankrap.

11 September 2014, Mahathir kata Malaysia akan  muflis seperti Argentina. 17 Ogos 2015, Mahathir kata ekonomi negara akan jatuh teruk.  31 Disember 2015, Mahathir kata Malaysia akan bankrap jika undur dari TPPA.

Sudah tiga kali Mahathir mendendangkan lagu Malaysia hendak bankrap. Semuanya itu Mahathir cakap dalam Malaysiakini.

Yang sebenarnya bankrap adalah pembangkang. Ringgit makin kukuh bila Mahathir keluar UMNO pada 8 Mac 2016.

Mahathir yang kini mengetuai parti Pribumi yang berpakat dengan pembangkang lebih gembira melihat kejatuhan ekonomi negara dan bertepuk tangan, hanya disebabkan benci kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dengan mengemukakan fakta ekonomi yang direka reka bagi meyakinkan ramai termasuk kononnya Malaysia bakal mengikut jejak Greece, yang mengalami masalah ekonomi, mereka terus memburukkan negara.

Tahun lepas, kecoh apabila Tun Daim Zainuddin dilaporkan berkata ekonomi Malaysia akan bankrap pada Ogos 2015. Begitu juga dengan Lim Kit Siang, yang sepanjang tahun menyatakan Malaysia akan bankrap.

Apa yang berlaku ialah pembangkang mengambil kesempatan dengan mensensasikan isu mengenai ekonomi negara tanpa menggunakan fakta dan statistik yang betul. Hakikatnya, Malaysia masih menjadi destinasi pelaburan asing.

Malaysia telah dipilih oleh Thompson Reuters sebagai ekonomi Islam paling maju di dunia pada 2015. Ranking Malaysia dalam Global Competitiveness Report bagi 2015 juga naik dua tangga dalam senarai 20 ekonomi berdaya saing di dunia, lebih tinggi dari Perancis dan Australia.

Mahathir dan pembangkang tidak mahu guna fakta ini. Mereka menggunakan maklumat yang tidak tepat dan "spin" cerita.

Pembangkang dan Pakatun  terus menjadikan maklumat tidak sahih ini sebagai bahan untuk memberikan persepsi buruk mengenai pentadbiran negara.

Bank-bank tutup cawangan dikatakan tanda ekonomi Malaysia makin teruk padahal pihak pengurusannya bercadang mengurangkan perbelanjaan operasi dan menumpukan kepada perkhidmatan digital.

Begitu juga dengan Tesco, pasaraya itu dikatakan akan menutup operasinya di Malaysia, dengan mengikut jejak langkah Carrefour kononnya kerana ekonomi Malaysia yang kurang memberangsangkan kebelakangan ini serta cukai kerajaan yang semakin meningkat.

Perkara ini dinafikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Stores (Malaysia), Paul Ritchie yang menyatakan bahawa Tesco mahu memper­kukuhkan lagi perniagaan di seluruh negara.

Kita boleh mengemukakan bukti-bukti mengenai ekonomi Malaysia namun berapa kerat yang membaca mengenainya?

Berapa ramai yang boleh menghafal mengenai statistik hutang negara atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang semakin berkembang kepada 4.1 peratus pada separuh pertama tahun ini. Singapura pun hanya catat dua peratus bagi tempoh sama.

Ataupun mengenai penarafan oleh Fitch, Moody's dan Standard & Poor's di mana Malaysia kekal pada A. Pembangkang dan Pakatun mana mahu ambil tahu mengenai perkara ini.

Jadi jika mereka terus menyebarkan dakyah palsu dan dangkal mengenai ekonomi Malaysia dengan memainkan isu Malaysia akan bankrap tahun ini atau tahun depan atau tahun 2018, silalah minta mereka tunjukkan bukti dan statistik.

Bukan sekadar cakap kosong dan ulangi dakwaan kitar semula kerana kita sudah muak dengan fitnah-fitnah yang cuba memburukkan negara kita Malaysia.

Yang sebenarnya bankrap adalah pembangkang. Mereka bankrap isu, terpaksa guna apa saja isu untuk terus menyerang kerajaan.

Hingga sanggup tabur pasir dalam periuk nasi ekonomi rumah sendiri semata mata untuk kuasa dan kepentingan kroni.

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

Racun perosak dalam makanan mengurangkan jumlah sperma