[Video] Tragedi 15 rumah terbakar di Petagas


[Video] Tragedi 15 rumah terbakar di Petagas

Selanjutnya di: https://pakdin.my/159388/ 

PUTATAN: Lebih 10 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Contoh, Petagas, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah kira-kira jam 9 malam.

"Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, malam tadi.

Jurucakap JBPM Sabah ketika dihubungi pula berkata, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 9.37 malam sebelum berjaya mengawal kebakaran pada jam 10.38 malam.

"Seramai 28 anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang serta Kota Kinabalu terbabit dalam operasi memadam kebakaran itu," katanya.

Sementara itu penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) hilang keperluan pengajian termasuk komputer riba dan mesin cetak selepas kediaman keluarganya terbakar di Kampung Contoh, Petagas, di sini semalam.

Dalam kebakaran 9 malam itu, 15 rumah termasuk rumah keluarga Mimi Hasleyanie Masari, 22, musnah menyebabkan 76 penduduk tinggal sehelai sepinggang.

Mimi Hasleyanie berkata, kebakaran itu berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke asramanya di Tuaran.

"Ketika kami berada di Manggatal, tiba-tiba dapat panggilan daripada adik memberitahu rumah terbakar.

"Kami terus berpatah balik dan dalam masa yang sama, mengarahkan mereka yang berada di rumah supaya keluar segera untuk menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran di sini, hari ini.

Ibunya, Hasrani Harun, 44, berkata, tiada apa yang dapat diselamatkan mereka memandangkan rumah mereka hangus sepenuhnya.

"Semua keperluan persekolahan dan wang tabungan anak-anak selain barang kemas tidak sempat diselamatkan.

"Tetapi saya tetap bersyukur, semua ahli keluarga, anak-anak, bapa saya yang sudah berusia dan suami selamat," katanya.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pihaknya sedang meneliti bantuan yang sesuai yang akan disalurkan kepada mangsa kebakaran.

Katanya, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) sudah dibuka yang setakat ini menempatkan enam keluarga, manakala beberapa keluarga lagi tinggal di tapak kebakaran dan menumpang di rumah keluarga terdekat.

"Kita akan dapatkan butiran lanjut untuk bantuan yang sesuai mengikut kriteria, sama ada mungkin menerusi bantuan perumahan Sabah Maju Jaya (SMJ)," katanya ketika meninjau lokasi kebakaran.




Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

Racun perosak dalam makanan mengurangkan jumlah sperma