Dr. Mahathir lemah, perlukan pakatan pembangkang – Wan Azizah

Pakatan pembangkang menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa mereka adalah lemah serta hanya menumpang pengaruh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sebaliknya, Ketuanya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail menegaskan bahawa Dr. Mahathirlah yang sebenarnya memerlukan bantuan pihak pembangkang dalam usahanya untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Dakwaan pembangkang tidak kuat sehingga memerlukan Dr. Mahathir adalah tidak benar. Sebaliknya beliau yang tidak kuat dan memerlukan kami (pembangkang)," katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Beliau mengulas dakwaan pihak tertentu bahawa pakatan pembangkang memerlukan sokongan serta pengaruh daripada Dr. Mahathir.

Dalam pada itu, Wan Azizah berkata, pakatan pembangkang akhirnya mengakui bahawa pembebasan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi agenda utama yang akan dibawa bersama-sama reformasi lain yang terkandung di dalam pakatan antara Dr. Mahathir dan pembangkang.

Pendirian itu dibuat hanya beberapa hari selepas pakatan itu duduk semeja dengan Dr. Mahathir dan menandatangani satu 'deklarasi' yang disifatkan sebagai merentasi batasan politik dan tidak mewakili mana-mana parti.

Menurut Wan Azizah, pengakuan Dr. Mahathir sebagaimana terkandung dalam 'deklarasi' itu tidak mengubah hala tuju pakatan pembangkang terutamanya berhubung pendirian mengenai bentuk-bentuk reformasi undang-undang, politik, media, ekonomi, kewangan, pendidikan dan sosial.

"Pengakuan Dr. Mahathir itu adalah penerimaan secara tidak langsung bahawa institusi kerajaan yang tidak bebas telah memangsakan Anwar yang dipenjarakan kerana menjadi ancaman politik paling utama kepada pentadbiran Perdana Menteri.

"Oleh yang demikian, pakatan pembangkang pada hari ini menetapkan bahawa agenda pembebasan Anwar menjadi agenda utama yang akan dibawa bersama-sama agenda reformasi yang lain dalam usaha menyelamatkan Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAN, Khalid Samad berkata, Dr. Mahathir tidak menerima sokongan yang banyak dalam kalangan Ahli Parlimen ketika ini untuk menunaikan hasratnya menumbangkan Najib.

"Berapa banyak Ahli Parlimen beliau ada? Kami ada satu pakatan," ujar beliau.

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

Racun perosak dalam makanan mengurangkan jumlah sperma