Kekang salah guna media sosial – Seri Paduka

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah, cubaan segelintir pihak memainkan sentimen perkauman serta menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan kandungan berbaur hasutan, fitnah dan fahaman ekstremis perlu dikekang dan ditangani segera oleh agensi-agensi berkaitan.

Titah Tuanku Abdul Halim, kelewatan bertindak berhubung isu-isu yang melibatkan perpaduan dalam masyarakat pelbagai kaum boleh menyebabkan konflik dan perbalahan yang lebih besar.

"Beta ingin mengingatkan rakyat jelata agar sentiasa memelihara keharmonian dan kerukunan hidup bermasyarakat," titah Yang di-Pertuan Agong.

Tuanku Abdul Halim bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan sidang Parlimen Keempat Penggal Ke-13 hari ini.

Turut berangkat dalam majlis perasmian itu, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong bertitah, langkah-langkah ke arah memperkukuhkan institusi agama dan kecekapan pelaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan mahkamah syariah perlu disegerakan.

Pada masa sama, isu-isu keagamaan perlu dirujuk kepada pihak berautoriti agama dan tidak wajar dibuat tafsiran secara individu atau berkelompok kerana boleh mencetuskan kecelaruan, ketegangan dan konflik dalam masyarakat.

"Beta menyokong penuh segala inisiatif bagi mendaulatkan Islam sebagai agama Persekutuan dan dalam masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas dan damai di negara ini," titah Tuanku Abdul Halim.

Tuanku Abdul Halim turut menarik perhatian berhubung ancaman keselamatan yang boleh menggugat kesejahteraan negara.

"Perkembangan ancaman militan dan anasir keganasan yang mula menular di negara ini perlu diberi perhatian serius kerana ia boleh menjerumuskan negara ke dalam kancah ketidakstabilan," titah Yang di-Pertuan Agong.

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga pasangan negara mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia

Malaysia Milk tarik balik penjualan produk Marigold HL