Pakatan Anti-Najib Mahathir Dengan Pemimpin Pembangkang Gagal Sebaik Dimulakan

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pakatan anti-Najib antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pemimpin pembangkang mengalami kegagalan sebaik sahaja ia dimulakan.

Menurut Salleh, idea pembaharuan pembangkang amat jauh bezanya daripada idea Dr Mahathir mengenai perkara itu dan mereka tidak sepakat mengenai butiran terperincinya.

"Keadaan ini sudah cukup untuk menjamin kegagalannya sejak awal lagi, sama seperti yang telah dialami Pakatan Rakyat. Marilah kita sama-sama mendengar dahulu apakah agenda pembaharuan mereka secara penuh, sebelum meminta rakyat menyokongnya.

"Apa pula selepas itu? Dr Mahathir berkata ia hanya bertujuan untuk menyingkirkan Najib agar Malaysia dapat diselamatkan. Menyelamatkan daripada apa? Apa yang beliau maksudkan ialah isu 1MDB, tetapi beliau tidak mahu menyebutnya kerana perkara itu sudah diselesaikan dan tidak lagi merupakan suatu isu," kata Salleh melalui catatan terbaru dalam blognya hari ini.

Beliau mengulas mengenai kempen terbaru anti-Najib diketuai Dr Mahathir, yang mengeluarkan apa yang disebut sebagai Deklarasi Rakyat, untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Tun Razak daripada jawatan perdana menteri. "Malah, perkara berkaitan RM2.6 bilion juga sudah diselesaikan.

"Mereka perlu jujur dan tidak memperdaya rakyat. Mereka sedar bahawa langkah mereka untuk menyingkirkan Najib telah gagal dan ini hanya merupakan langkah untuk menyelamatkan air muka mereka.

"Ia hanyalah satu pertunjukan sampingan untuk memberi tanggapan bahawa usaha itu belum berakhir, sedangkan pada hakikatnya, ia telah berakhir beberapa bulan lepas," kata Salleh.

Beliau berkata, mereka yang hadir pada sidang akhbar ANC (Kempen anti-Najib) hari ini terdiri daripada orang sama, yang begitu lantang bersuara dan menuntut Najib berundur sejak setahun lepas.

"Sebenarnya, ia merupakan perhimpunan oleh orang yang tidak mendapat tempat dan manusia daripada beraneka ragam, yang hanya disatukan oleh satu perkara iaitu: benci kepada Najib," katanya.

Sebanyak 58 orang, antaranya Dr Mahathir, isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan anak mereka Datuk Seri Mukhriz Mahathir, menandatangani deklarasi itu.

Turut menandatanganinya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Dr Ling Liong Sik, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Mustafa Ali, Lim Kit Siang dan Datuk Zaid Ibrahim.

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga pasangan negara mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia

Malaysia Milk tarik balik penjualan produk Marigold HL