Kerjasama Tun Mahathir Dan Pembangkang Kukuhkan Kedudukan Najib

Tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bekerjasama dengan musuh UMNO untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan memberi kesan.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata tindakan tersebut sebaliknya mengukuhkan lagi kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

"Bekerjasama dengan musuh ketat UMNO hanya akan memperkukuhkan lagi kedudukan PM dalam UMNO, saya berterima kasih kepada anda Tun (Dr Mahathir)," katanya melalui akaun twitter hari ini.

Dr Mahathir, yang mengambil keputusan keluar daripada UMNO pada 1 Mac lalu, hari ini bersama-sama beberapa pemimpin pembangkang dan bekas pemimpin Barisan Nasional (BN) dan UMNO menandatangani Deklarasi Rakyat mahukan Najib meletakkan jawatan perdana menteri.

Antara yang turut hadir menandatangani deklarasi itu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Lim Kit Siang dan Datuk Mustafa Ali.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa menyifatkan apa yang berlaku sebagai satu drama paling menarik dalam sejarah politik negara.

"Kita ucapkan tahniah kepada DAP, Parti Keadilan Rakyat, Parti Amanah Negara dan Bersih kerana akhirnya menerima pimpinan mantan presiden UMNO (Dr Mahathir) yang sebelum ini berpuluh tahun kami dalam UMNO berjuang supaya anda menerima pimpinannya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, UMNO akan terus beristiqamah dengan proses demokrasi yang dipertahankan selama ini.

Annuar berkata UMNO juga tidak mampu berdrama kerana mandat rakyat adalah supaya parti itu membela nasib rakyat.

"Kita bertanggungjawab memajukan ekonomi, memupuk perpaduan, menjaminkan keamanan serta keadilan di samping mempertahankan kedaulatan negara," katanya.

Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun pula berpendapat gandingan kekok Dr Mahathir dan Lim Kit Siang tidak layak untuk mendesak Najib, seorang pemimpin yang mendapat mandat demokratik daripada rakyat dan anggota UMNO, untuk berundur mahupun meletak jawatan.

"Tun Dr Mahathir sepatutnya tidak mengajar anak muda dengan sikap sebegini. Sewaktu beliau menjadi presiden UMNO dan perdana menteri, anggota parti tetap mempertahankan beliau dalam pelbagai episod dan krisis politik," katanya dalam kenyataan.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula berkata gerakan deklarasi rakyat yang kononnya mahu selamatkan Malaysia oleh kumpulan Dr Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz adalah tidak mencerminkan kehendak rakyat.

"Menggunakan nama rakyat apabila mereka menandatangani `deklarasi rakyat' tidak akan diterima sedangkan deklarasi rakyat yang sebenar adalah suara rakyat sewaktu pilihan raya.

"Tunggulah deklarasi rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti. Itulah suara sebenar rakyat dan bukannya melalui kumpulan yang disertai Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kumpulan kira-kira 50 orang hari ini jelas tidak layak sama sekali mengisytiharkan mereka sebagai mewakili rakyat dan menandatangani deklarasi rakyat'.

"Justeru, saya berharap semua ahli UMNO bersatu untuk menentang sebarang tindakan kumpulan gabungan Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin, Datuk Seri Mukhriz, DAP, PKR, Parti Amanah Negara dan Bersih yang jelas selama ini musuh utama UMNO," kata Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah itu.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan kumpulan tersebut sebagai ahli-ahli politik yang kecewa dan tidak matang dan tindakan mereka ternyata menolak mandat yang telah diberikan rakyat pada pilihan raya umum yang lalu.

"Kita perlu menunggu pilihan raya umum ke-14 supaya rakyat boleh membuat keputusan. Berilah peluang kepada pimpinan negara hari ini menunaikan segala janjinya kepada rakyat.

"Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tidak akan melayan tindakan tidak beretika kumpulan tersebut yang ternyata menyalahgunakan kebebasan,"katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya akan terus memberi sokongan penuh kepada Najib selaku Presiden UMNO untuk memimpin parti dan kerajaan.

"Kami yakin program transformasi perdana menteri akan berjaya mengekalkan kestabilan politik, menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat," katanya.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata Dr Mahathir dan rakan-rakannya seharusnya sedia maklum, penentuan bagi siapa yang akan menerajui kerajaan tidak boleh dibuat pada satu sidang media mahupun melalui kempen menandatangani memorandum.

"Dalam sistem demokrasi, penentuan itu hanya boleh dibuat pada pilihan raya melalui mandat pengundi. Jika mereka tidak puas hati, kami cadangkan mereka bergabung dalam satu perikatan politik rasmi dan berdepan dengan Barisan Nasional pada pilihan raya umum kelak," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

Racun perosak dalam makanan mengurangkan jumlah sperma