[VIDEO] 2 maut, 9 cedera bas terbabas di LPT 2
BACA seterusnya di: https://pakdin.my/165044
DUNGUN: Percutian 30 sahabat ke Pulau Redang Terengganu berakhir dengan tragedi selepas dua daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 375.4, Lebuh Raya Pantai Timur 2( LPT2), selepas Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Bukit Besi, pagi tadi 19 Mei 2023.
Dalam kejadian jam 5.20 pagi, mangsa, Tan Poh Hwa, 42, dan Choo Chia Tan, 44, masing-masing dari Taman Indah Tampin, Negeri Sembilan.
Poh Hwa disahkan maut di tempat kejadian sementara Chia Tan meninggal dunia ketika diberi rawatan kecemasan di Hospital Dungun, kira-kira jam 9.15 pagi.
Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Bomba negeri Terengganu, Baharum Muhamad Hasim berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.20 pagi berhubung kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran.
Katanya, seramai 16 anggota bomba dari Balai Bomba Bandar Al-Muktaffi Billah Shah dan Balai Bomba Kuala Berang bergegas ke lokasi kejadian.
"Sebaik anggota kami sampai di tempat kejadian, seorang daripada mangsa yang maut tercampak keluar dari bas terbabit.
"Seorang lelaki yang dipercayai suami mangsa tersepit di tempat duduk dan kami mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan mangsa," katanya.
Katanya, semua mangsa yang parah dan cedera dikejarkan ke Hospital Dungun dan Hulu Terengganu untuk menerima rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, bas persiaran terbabit dalam perjalanan dari Tampin Negeri Sembilan menghala ke Kuala Terengganu.
Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, bas terbabit dipercayai terbabas dan merempuh pembahagi lebuh raya kira-kira 50 meter sebelum terbalik ke laluan bertentangan.
"Semua mangsa dikatakan dalam perjalanan untuk bercuti di Pulau Redang, Kuala Nerus sebelum terbabit dalam kemalangan itu.
"Pemandu bas persiaran terbabit yang berusia 26 tahun cedera parah dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk diberi rawatan lanjut," katanya.
Baharudin berkata, semua maklumat mangsa yang cedera serta cedera parah masih belum diperolehi.
"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Comments
Post a Comment