[VIDEO] Tragedi konvoi lima sahabat


[VIDEO] Tragedi konvoi lima sahabat

BACA seterusnya di: https://pakdin.my/165129

REMBAU: Konvoi motosikal lima sahabat berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut manakala tiga lagi parah dalam kemalangan di Kilometer 222.7 Lebuhraya Utara- Selatan (Plus) arah utara, berhampiran sempadan Alor Gajah - Rembau, di sini, pagi hari ini 21 Mei 2023.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi itu, sebanyak lapan kenderaan terbabit dalam kemalangan berkenaan, termasuk tiga kereta.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, mangsa Muhammad Alif Danial Muhamad Zamri, 22, disahkan maut di lokasi kejadian selepas parah di beberapa bahagian badan.

"Siasatan awal mendapati mangsa bersama empat rakan menunggang di lorong kiri dari arah Ayer Keroh, Melaka menghala ke Senawang, Negeri Sembilan.

"Sampai di tempat kejadian mangsa dikatakan hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sisi sebelah kanan sebuah kereta Nissan Almera yang dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun ke arah sama," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, akibat pelanggaran, mangsa dipercayai tercampak ke longkang bahagian kiri lebuh raya, manakala empat rakan penunggang yang mengekori rapat dikatakan hilang kawalan akibat cuba mengelak lalu terjatuh atas jalan.

"Pemandu Nissan Almera yang dilanggar berpusing dan berhenti di lorong kanan selepas perlanggaran pertama.

"Kemudian datang sebuah kereta jenis Toyota Yaris yang dipandu di lorong kanan cuba mengelak Nissan Almera yang berada laluannya namun di rempuh sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu di lorong tengah, dari arah belakang," katanya.

Hazri berkata, akibat kemalangan itu, mangsa pertama disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat.

"Penunggang kedua berusia 21 tahun mengalami patah kaki kiri manakala penunggang ketiga berusia 18 tahun patah lengan kanan dan kiri serta paha.

"Penunggang keempat berusia 20 tahun luka ringan pada kaki dan tangan manakala penunggang kelima berusia 19 tahun patah tangan kiri dan betis kiri. Masing-masing dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban," katanya.

Katanya, tiga pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dan kes masih dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga pasangan negara mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia

Malaysia Milk tarik balik penjualan produk Marigold HL