Sultan Perak perkenan belia baca khutbah Jumaat, esok
Sultan Perak perkenan belia baca khutbah Jumaat, esok
BACA seterusnya di: https://pakdin.my/164822
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan golongan belia di negeri ini diberi penghormatan membaca khutbah Jumaat di beberapa masjid di Perak esok, bersempena sambutan Hari Belia Negara yang disambut 15 Mei lepas.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd Annuar Zaini dalam kenyataan berkata ia bagi mengiktiraf peranan penting generasi berkenaan kepada negara.
"Baginda telah menitahkan supaya khutbah Jumaat di negeri Perak pada 19 Mei (esok) bertemakan ‘Belia Pewaris Negara Bangsa’.
“Baginda turut memperkenankan para pemimpin belia diberikan penghormatan membaca khutbah Jumaat di masjid-masjid di negeri Perak, pada 19 Mei (esok), “ kata Mohd Annuar.
VIDEO berkaitan:
Mohd Annuar berkata susulan itu Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak telah mengemukakan 24 nama pemimpin belia kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk mendapat tauliah sementara membaca khutbah di 24 masjid di negeri Perak.
Katanya, Sultan Nazrin Shah turut memberi perkenan kepada Muhammad Syukri Alimar Shidi daripada Kelab Belia Abrar Sungai Rokam untuk membaca khutbah Jumaat di Masjid Negeri, Masjid Sultan Idris Shah II, esok.
Antara masjid lain di negeri ini yang memberi penghormatan kepada golongan belia untuk membacakan khutbah Jumaat ialah Masjid Al-Falah Taman Sri Kota di Larut Matang dan Selama, Masjid Sultan Idris Shah di Hilir Perak, Masjid Sultan Yusuf Izzudin Shah di Perak Tengah dan Masjid Jamek Gerik di Hulu Perak.
Comments
Post a Comment