[VIDEO] Agong zahir sukacita, kesyukuran 30 rakyat Malaysia selamat tiba di tanah air


Agong zahir sukacita, kesyukuran 30 rakyat Malaysia selamat tiba di tanah air

BACA seterusnya di: https://pakdin.my/163739

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sukacita dan syukur kerana 30 rakyat Malaysia diselamatkan dari Khartoum, ibu negara Sudan yang dilanda konflik, selamat tiba di tanah air semalam.

Al-Sultan Abdullah menerusi akaun Facebook Istana Negara, turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya pasukan operasi dari Malaysia dan di Sudan diketuai Duta Besar Malaysia ke Sudan (Mohamad Razdan Jamil), atas usaha dan kejayaan membawa pulang rakyat dengan segera demi keselamatan mereka.

Penghargaan juga diberikan kepada pemimpin dan Kerajaan Arab Saudi dan Emeriah Arab Bersatu (UAE) atas bantuan yang diberikan dalam operasi berkenaan.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah tidak ketinggalan menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat dan masjid-masjid yang melakukan solat hajat dan doa selamat bagi keselamatan serta kesejahteraan rakyat Malaysia di Sudan berikutan krisis yang berlaku di negara itu.

Semalam, tiga puluh orang rakyat Malaysia terdiri daripada pegawai Wisma Putra, pekerja Petronas dan pelajar, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 2.54 petang melalui penerbangan Saudi Arabian Airlines dari Jeddah.

https://youtu.be/17QltalrPVs

Pada Khamis lepas, Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abd Kadir dilaporkan berkata usaha membawa keluar rakyat Malaysia menerusi misi menyelamat oleh Pasukan Khas Ops Sudan, pastinya lebih sukar sekiranya tiada pembabitan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Zambry, Al-Sultan Abdullah sendiri telah menghubungi Presiden UAE untuk membantu operasi membawa keluar rakyat Malaysia dari Sudan, manakala tindakan Perdana Menteri menghubungi pemimpin Sudan bagi mendapatkan laluan keselamatan sewaktu perjalanan sejauh 1,233 kilometer (km) dilakukan dari Khartoum ke Pelabuhan Sudan telah menyumbang kepada kejayaan operasi yang amat kompleks itu.


BERITA sebelumnya:

OPS SUDAN: 30 RAKYAT MALAYSIA SELAMAT TIBA DI TANAH AIR HARI JUMAAT

Tiga puluh rakyat Malaysia yang berjaya diselamatkan dari Khartoum, ibu negara Sudan, ketika negara itu dilanda konflik, selamat tiba di tanah air hari ini.

Mereka yang terdiri daripada pegawai Wisma Putra, pekerja Petronas dan pelajar, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini kira-kira 2.54 petang melalui penerbangan Saudi Arabian Airlines SV834 dari Jeddah.  

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin turut hadir menyambut ketibaan mereka di lapangan terbang itu.

Rakyat Malaysia itu adalah antara 194 rakyat pelbagai negara yang selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Raja Faisal pada kira-kira 1.54 pagi waktu Malaysia semalam, dengan menaiki kapal tentera laut Arab Saudi HMS Abha setelah menempuh perjalanan kira-kira sembilan jam dari Pelabuhan Sudan.

Lebih 400 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 3,500 cedera ekoran konflik bersenjata antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) yang tercetus pada 15 April lepas.

Pada 25 April lepas, dilaporkan 30 rakyat Malaysia yang terkandas di Khartoum, selamat tiba di Pelabuhan Sudan pada 2.07 petang Isnin waktu Sudan (8.07 malam waktu Malaysia) setelah melalui perjalanan 30 jam menempuh jarak 1,233 kilometer.

Dilaporkan terdapat 32 rakyat Malaysia berada di Sudan iaitu di tujuh tempat berbeza dan pada 21 April lepas, dua rakyat Malaysia telah dibawa keluar dan dipindahkan ke tempat selamat.

Dua rakyat Malaysia itu merupakan individu yang berkhidmat dengan Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan (UNMIS) di Abyei dan proses evakuasi mereka akan dilakukan oleh pihak PBB.


Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

Racun perosak dalam makanan mengurangkan jumlah sperma