ADAKAH MAHATHIR, MUHYIDDIN MEMPERKUDAKAN BERSIH?
Jika Mahathir dan Muhyiddin bersetuju dengan perjuangan asal Bersih untuk pilihan raya yang bersih, mengapa mereka berdua tidak memperjuangkannya ketika berada dalam BN?
Timmy Say, Free Malaysia Today
Perhimpunan November 19 sudah tamat. Melihat Mahathir Mohamad menyertai Bersih 5 umpama melihat serigala berpengalaman Hillary Clinton berkempen melawan Donald Trump yang tidak dapat dihuraikan menggunakan kata-kata.
Hillary menyerang Trump dari segala arah, terutamanya kata-kata menghinanya, polisinya, kelakuannya sehingga gaya hidupnya. Di dalam kempen Hillary, Trump digambarkan sejahat-jahatnya, dan masa depan Amerika dipersepsikan akan menjadi neraka jika Trump menjadi presiden Amerika Syarikat.
Manakala Trump pula tidak mempunyai banyak senjata terhadap Hillary. Meskipun sedikit, serangannya terhadap Hillary sangat mudah dan terbukti berkesan.
"Semua polisi yang kamu cadangkan (jika Hillary menjadi presiden), mengapa kamu tak buat sewaktu 30 tahun kamu di politik. Percayalah saya, dulu dia tak buat, apabila dia mendapat kuasa, dia tetap tak akan buat. Dia hanya cakap," begitulah serangan Trump terhadap Hillary ketika debat dan kempennya.
Kata-kata Trump ini sangat berkesan dalam situasi Mahathir mahupun Muhyiddin Yassin mendampingi Bersih.
Apakah Mahathir dan Muhyiddin bersetuju dengan perjuangan asal Bersih untuk pilihan raya yang bersih? Jika begitu, mengapa Mahathir dan Muhyiddin tidak memperjuangkannya ketika dalam BN? Apakah Mahathir dan Muhyiddin sedang memperkudakan Bersih?
Bagaimanakah Bersih boleh menerima kehadiran mereka yang berperanan menyebabkan pilihan raya di Malaysia ini tidak bersih? Apakah Bersih sudah lupa matlamat mereka?
Begitulah bunyi soalan-soalan ala Trump yang bakal diajukan terhadap Bersih dan Mahathir yang susah dijawab.
Jika mereka memilih untuk menjadikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai jawapan, mereka terpaksa pula berdepan soalan-soalan ala Trump yang selanjutnya seperti:
"Siapa yang nak sangat memilih Najib menjadi PM? Apakah jaminan pilihan Mahathir selepas ini lebih baik? Rekod beliau dalam memilih diketahui umum. Pak Lah tak boleh. Najib tak boleh. Yang seterusnya pun akan sama. Dan ketika itu, mereka pula akan memuji Najib ke langit jika Najib sudi bersamanya untuk menjatuhkan pilihan terbarunya."
Itulah dilema hari ini.
Hillary mungkin bercakap semua perkara yang betul, tapi yang menang pada akhirnya ialah Trump walaupun majoriti berpendapat beliau seorang yang teruk.
Trump menang bukan kerana Trump hebat.
Trump menang kerana berjaya mendedahkan Hillary, seperti yang disifatkan Mahathir sebagai sama-sama teruk, menyebabkan majoriti rakyat Amerika Syarikat memilih untuk tidak mengundi di pilihan raya.
Cuma bezanya, Amerika Syarikat tiada parti atau kuasa ketiga yang mempunyai cukup pengaruh dan undi untuk menentukan siapa yang bakal menang seperti di Malaysia.
Nak tak nak, ramai terpaksa mengakui keadaan politik negara dan pendekatan politik PAS sudah memposisikan mereka sebagai kuasa ketiga di negara ini. Dan kehadiran di Bersih mengukuhkan lagi keadaan ini.
Comments
Post a Comment