DAKWAAN MALAYSIA BANKRAP SEKADAR SERANGAN POLITIK - NAJIB
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan dakwaan kononnya Malaysia akan bankrap dan sebuah kerajaan yang gagal hanyalah sebagai serangan politik kerana ia tidak disokong fakta dan kenyataan yang sahih.
Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membidas tanggapan sedemikian berkata, dakwaan oleh sekumpulan kecil itu dilihat lebih bermotifkan politik.
Katanya, rakyat perlu lebih bijak menilai dengan menganalisis fakta dan kenyataan yang datangnya dari pihak yang tidak berkepentingan seperti agensi penarafan, Bank Dunia dan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF).
"Inilah yang perlu kita jelaskan kepada rakyat bahawa mereka tidak boleh percaya apa yang tidak disokong dengan kenyataan dan fakta...kenyataan dan fakta ini mestilah datang daripada pihak yang tiada kepentingan.
"Ulasan mereka (pihak yang tiada kepentingan), analisis mereka itu adalah sebenarnya lebih tepat daripada apa sahaja yang didakwa oleh mana-mana pihak yang bermotifkan politik," katanya pada program Soal Jawab Khas bersempena Perhimpunan Agung Umno 2016 di sini, Isnin.
Najib yang baru-baru ini pulang daripada menghadiri persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) menyatakan beliau ada bertemu dengan wakil agensi penarafan seperti Moody's dan juga Pengarah Urusan IMF Christine Lagarde ketika di Lima, Peru.
"Kalaulah kita menjurus kepada ekonomi yang akan bankrap, sudah tentu badan penarafan seperti Moody's, wakilnya di situ akan beritahu mereka melihat keadaan ini memang akan membawa kepada kemudaratan kalau kita tidak melakukan sesuatu.
"Lagarde (juga) tidak membayangkan bahawa kita dalam keadaan krisis," kata beliau.
Pada sesi dialog tidak rasmi pemimpin APEC bersama Lagarde di Peru minggu lepas, IMF menyokong langkah yang diambil ke atas mata wang Malaysia, selain menyatakan pergerakan nilai ringgit adalah di luar kawalan.
Lagarde menyokong apa yang Malaysia lakukan iaitu pengapungan mata wang sebagai barisan pertahanan terbaik disebabkan apa yang berlaku pada ringgit adalah di luar kawalan.
Najib turut berkongsi perbualannya dengan bakal Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump pada Ahad (27 November) yang menyifatkan Malaysia mempunyai ekonomi yang baik berikutan perkembangan ekonomi negara yang berkembang 4.3 peratus pada suku ketiga tahun ini.
Ketika ditanya sama ada prestasi ekonomi tidak menentu tahun depan dan selanjutnya akan meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat dan mempengaruhi sentimen politik rakyat, Najib berkata apa yang berlaku pada ekonomi global adalah di luar kawalan.
Sebaliknya, beliau berkata kerajaan telah melakukan apa yang terbaik untuk rakyat bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan ekonomi global selama ini.
"Saya percaya rakyat akan faham bahawa hari ini apa yang kita lakukan adalah yang terbaik untuk rakyat dan kita merupakan pihak yang boleh memenuhi harapan rakyat berbanding dengan alternatif yang ada," kata Perdana Menteri.
Atas dasar itu, beliau berkata Barisan Nasional pernah memenangi pilihan raya pada zaman kemelesetan ekonomi serta menang besar pada Pilihan Raya Negeri Sarawak pada Mei lepas walaupun sesetengah pihak meramal akan kalah berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Selain itu, BN juga menang besar pada pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar di Selangor dan Kuala Kangsar di Perak, katanya.
Najib dalam pada itu berkata subsidi kerajaan juga dikekalkan antaranya untuk kesihatan dan pendidikan bagi menangani kos sara hidup rakyat.
Comments
Post a Comment