HUBUNGAN TEGANG UMNO DAN PAS SEMAKIN KENDUR - NAJIB

Hubungan tegang antara UMNO dan Pas yang berlaku suatu ketika dahulu, kini semakin kendur termasuk di peringkat akar umbi, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, ini berikutan Pas pada masa ini lebih terbuka dan komited bekerjasama dalam memperjuangkan perkara khususnya yang melibatkan kepentingan ummah di negara ini.

"Begitu juga UMNO, UMNO pun bersikap sedemikian dalam banyak hal bila melibatkan soal ummah, soal masa depan negara.

"Ada bab-bab di mana kita memang mempunyai pendapat yang sama tetapi kita belumlah macam tahun 1974 dalam bentuk satu kerajaan campuran dan sebagainya," katanya sewaktu Program Soal Jawab Khas bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2016, di sini, malam tadi.

Najib menegaskan, UMNO dan Pas berjuang menerusi wadah parti masing-masing.

"Kita bergerak dalam kumpulan, kelompok masing-masing, dalam parti masing-masing. Ada masa kita berbeza pendapat, ada masa kita tak sama pendirian tetapi ada kala juga kita boleh mempunyai pendirian yang sama," kata Perdana Menteri.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menegaskan, parti itu mempunyai hak untuk menjalin kerjasama dengan sesiapa sahaja atau mana-mana parti politik termasuk UMNO.

Abdul Hadi berkata, kerjasama dengan UMNO adalah lebih tertumpu kepada soal untuk menegakkan syiar Islam demi kepentingan umat Islam di negara ini dan jalinan itu bukan atas kepentingan politik.

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

Racun perosak dalam makanan mengurangkan jumlah sperma