NAJIB KESAL USAHA BAWA PELABUR MASUK DIANGGAP GADAI NEGARA

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kesal dengan tindakan segelintir pihak yang sering kali mencari pelbagai alasan untuk mengecam beliau termasuk usahanya mencari pelaburan asing.

Najib, yang juga Presiden UMNO berkata, usaha beliau untuk meningkatkan ekonomi negara dengan membawa pelabur asing ke Malaysia turut dikecam dan dilabel sebagai cuba menggadai negara.

"Kalau kita tak bawa masuk pelaburan dia kata kita gagal, tapi kalau kita bawa masuk pelaburan dia kata kita menggadaikan negara. Ini mainan politik.

"Bila masa bawa masuk pelaburan jadi soal kedaulatan? Selama ini tak timbul apa? Apa beza pelaburan dari Jepun, Amerika Syarikat, Eropah dan dari China?" katanya pada program Soal Jawab Khas sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016.

Rancangan yang bersiaran selama sejam itu diperantarakan oleh Hamdan Ahmir dan disertai Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah dan pengacara RTM, Sayed Munawar Sayed Mohd. Mustar.

Najib yang juga Menteri Kewangan turut memberi jaminan pelaburan asing di negara ini adalah mengikut kandungan tempatan seperti ditetapkan dasar kerajaan.

"Janganlah termakan dengan dakyah seperti itu (menuduh pelaburan asing sebagai menggadai negara) sebab dakyah tersebut tak masuk dalam aliran pemikiran yang rasional," katanya.

Ditanya mengenai Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang dikritik sebagai mahal, Najib menafikannya dan menyifatkan projek bernilai RM55 bilion itu unik daripada segi topografi atau muka bumi.

Menurut Najib, kerajaan akan membuat penanda aras dan penilaian berdasarkan projek di tempat lain serta penilaian pengurusan agar ECRL itu mempunyai nilai untuk wang.

Katanya, pakej projek yang menarik termasuk pembiayaan Exim Bank of China dengan terma yang menarik menjadikan ECRL projek yang mampu merangsang ekonomi negeri-negeri pantai timur sehingga 1.5 peratus.

Najib berkata, pelaksanaan ECRL itu juga dapat mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan pantai barat dan pantai timur.

Pembinaan ECRL sepanjang 600 kilometer diumumkan Najib sewaktu membentangkan Bajet 2017 bulan lalu, dan akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Lembah Klang dengan Kuantan, Pahang sehingga ke Terengganu serta Tumpat di Kelantan.

---------
ECRL rapat jurang ekonomi - Najib

Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang akan dimulakan tahun depan, berupaya merapatkan jurang ekonomi antara negeri di Pantai Barat dan Pantai Timur negara, kata Datuk Seri Najib Razak. 

Perdana Menteri berkata, dengan unjuran pertambahan pertumbuhan sehingga 1.5 peratus, kegiatan ekonomi di Pahang, Terengganu dan Kelantan mampu dirangsang terutama selepas mempunyai hubungan terus dengan Pelabuhan Klang. 

Beliau turut menafikan projek bernilai lebih RM50 bilion itu terlalu mahal seperti didakwa sesetengah pihak kerana pelbagai faktor sudah diambil kira terutama dari segi topografi, selain pembinaan terowong di kawasan berbukit dan pembinaan di kawasan berpaya. 

"Bagaimanapun, sebagai kerajaan, kita akan buat penanda aras dan penilaian berdasarkan projek di tempat lain. 

"Kita juga akan buat pengurusan nilai dan memastikan harga projek ini boleh kita pertahankan dan mendapat nilai kepada wang. 

"Kita perlukan sambungan ini (antara Pantai Barat dan Timur) kerana kalau tidak, jurang akan berlaku. 

Jadi, kita perlu mengimbanginya dan ini salah satu projek besar yang boleh merapatkan jurang itu," katanya dalam wawancara khas bersama media di Seri Perdana, hari ini. 

ECRL membabitkan laluan kereta api sepanjang 688 kilometer dari Pelabuhan Klang, Selangor ke Tumpat, Kelantan. 

Ia berupaya mengurangkan kos perjalanan dan pengangkutan kargo ke Pantai Timur yang dianggar mempunyai 4.43 juta penduduk.

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

Racun perosak dalam makanan mengurangkan jumlah sperma