Tiada istilah 'payung emas' untuk wanita bermadu, poligami boleh jadi harus, sunat, haram


Tiada istilah 'payung emas' untuk wanita bermadu, poligami boleh jadi harus, sunat, haram

[Sumber: https://pakdin.my/?p=154633]

SETIAP kali mendengar tentang poligami, pasti terlintas ungkapan 'payung emas'!

Setiap wanita tidak mahu berkongsi kasih dengan orang lain, apatah lagi bila memikirkan wanita lain akan memiliki suaminya yang tercinta dari hujung rambut hingga hujung kaki.

Susah untuk seorang isteri menerimanya dengan ikhlas dan redha walaupun bersetuju untuk dimadukan.

Kebanyakan suami akan memberi alasan bahawa jika isteri mengikut arahan dan menerima poligami dengan hati terbuka, maka isteri akan mendapat ganjaran payung emas di akhirat kelak.

Namun sejauh mana kebenaran itu?

Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, tiada istilah payung emas menurut mana-mana hadis sebaliknya ia sebenarnya adalah hadis palsu.

"Sikap sebagai Muslim adalah kita tak menentang sebarang syariat ALLAH SWT namun, yang pasti ada keperluan dan hikmah dalam keadaan tertentu.

"Kita cuma menolak sikap menggunakan agama untuk kepentingan individu lantas mengabaikan hak-hak lain," katanya menerusi ciapan di Twitter.

Katanya, jika seorang wanita solat lima waktu, puasa Ramadan, pelihara kemaluan dan taat kepada suaminya maka, Nabi kata masuklah ke Syurga melalui pintu yang dikehendaki.

Kata beliau, hukum bagi sesuatu juga perlu dilihat daripada aspek sebab dan illahnya.

"Tidak boleh menetapkan hukum atas sesuatu berdasarkan zahir ianya sunnah atau tidak semata-mata, sebaliknya melihat kepada maslahat suatu perkara itu.

"Begitu juga dengan poligami. Terkadang ia menjadi perlu dan terkadang tidak perlu bahkan boleh jadi menzalimi.

"Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja (Surah al-Nisa', 4:3)," katanya.

Ujar Dr Zulkifli, hukum berpoligami itu sendiri boleh jadi harus, sunat dan haram dan tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan.

Jelas beliau, berbincang dengan baik, beri nasihat, dan pandangan, demi untuk mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap hak isteri dan juga anak-anak.


Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

Racun perosak dalam makanan mengurangkan jumlah sperma