#PRNJohor: Tanding solo kerana trend sokongan kembali kepada BN, kata Zahid


#PRNJohor: Tanding solo kerana trend sokongan kembali kepada BN, kata Zahid

[Sumber: https://pakdin.my/?p=154210]

Barisan Nasional (BN) bertanding secara solo pada pilihan raya negeri (PRN) Johor berikutan trend sokongan yang kembali semula terhadap parti itu, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pendekatan diambil BN adalah sama seperti dalam PRN Melaka, sebelum ini.

“BN iaitu Umno, MCA dan MIC akan memperkasakan gerak kerja dan jentera parti di mana dari 56 kerusi ditandingi, BN akan meletak calon-calon di seluruh 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor.

“Strategi BN bertanding dengan mengambil kira bahawa trend sokongan telah datang semula kepada BN. Untuk itu, sebagaimana yang berlaku berlaku dalam PRN Melaka, acuan yang sama kita akan gunakan dalam PRN Johor,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Berhubung perundingan kerjasama dengan PAS dalam PRN Johor, Zahid berkata, perbincangan telah diadakan antara Pengerusi BN Johor dan Pesuruhjaya PAS negeri itu.

Namun, setakat ini hasil perbincangan belum dimaklumkan kepada beliau.

“Saya merasakan Johor adalah medan untuk menguji sejauh mana BN diterima semula oleh pengundi Johor dan ia adalah medan ujian untuk melihat tahap sokongan pengundi-pengundi pertama kali terutamanya pengundi 18 tahun dan pengundi yang didaftarkan secara automatik.

“Umno akan berusaha bersungguh-sungguh walaupun keputusan yang diambil Umno untuk bertanding secara solo,” katanya.

Menurut Zahid, BN harus dominan semula di Johor kerana parti itu dilahirkan di Istana Besar Johor Bahru.

Menurutnya, perkara itu akan menjadi asas yang akan digunakan parti itu dalam PRN Johor.

“Dalam PRU-14, kita tidak dapat kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri oleh kerana kedudukan kerusi cuma memihak kepada pemimpin Umno yang menjadi Menteri Besar hanya 28 kerusi berbanding pihak lain, maka kestabilan politik Johor terlalu rapuh.

“Untuk itu, dalam PRN ini, dominan BN harus diraih semula maka kita menyusun strategi agar BN bertanding (di semua DUN) dengan mengambil kira trend sokongan telah datang semula kepada BN,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

Racun perosak dalam makanan mengurangkan jumlah sperma