#PRNJohor: Keadaan politik negeri hanya tenang di permukaan - Mohamad Hasan


#PRNJohor: Keadaan politik negeri hanya tenang di permukaan - Mohamad Hasan

[Sumber: https://pakdin.my/?p=154192]

Keputusan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah berasaskan keadaan politik di negeri itu dan bukan atas faktor kepentingan politik.

Pengarah Pilihan Raya Negeri Johor yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tanggapan yang mengatakan momentum Barisan Nasional dalam beberapa pilihan raya negeri sebelum ini menjadi punca PRN Johor, adalah salah sama sekali.

"Keadaan politik di Johor nampak tenang di bahagian atasnya, dalamnya menggelegak. Pernah satu hari Sidang DUN Johor, tidak ada keputusan kalau Speaker tidak guna casting vote, tak dapat luluskan satu bil.

"Majoriti kerajaan Johor lebih satu kerusi sahaja, jadi hari itu ada seorang ADUN kerajaan kena kuarantin jadi tak dapatlah luluskan bil tanpa casting vote Speaker.

"Apa yang kita nampak, bagaimana nak urus negeri dalam keadaan tidak menentu begini? Kerajaan tidak ada masa untuk fokus keutamaan membangunkan negeri, malah sering tergugat dengan keadaan yang tidak menentu.

"Pembangunan negeri terencat, kerajaan Johor pun ada macam-macam kepala, ada pendapat dan agenda masing-masing," jelas beliau.

Tegasnya, apa yang berlaku dalam PRN lain seperti Melaka, tidak boleh disamakan dengan apa yang akan berlaku di Johor kerana situasi di setiap negeri adalah berbeza.

Dalam pada itu, Mohamad berkata Pilihan Raya Umum (PRU) merupakan pilihan yang difikirkan bagi mengatasi ketidakstabilan politik, namun keadaan lebih mendesak di Johor yang memerlukan pilihan raya dilakukan secepat mungkin.

Beliau juga mengakui keperluan diadakan PRU pada kadar segera bagi memulihkan kepercayaan orang ramai, bukan sahaja rakyat tetapi juga pelabur luar yang beranggapan demokrasi seakan terhakis di negara ini.

"PRU itu terserah kepada Perdana Menteri, di peringkat pusat tidak begitu mendesak kerana sudah ada MoU sehingga Julai, jadi biarlah dahulu.

"Tetapi PRU kena diadakan selepas itu kerana orang ramai tidak memperakui kerajaan ini. Orang luar juga pandang kita sinis, takkan nak tengok sahaja mereka melabur di Thailand dan Indonesia.

"Kita tidak kurang apa pun berbanding mereka tetapi kita dianggap tak hormat demokrasi," katanya lagi.

Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene.


Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

Racun perosak dalam makanan mengurangkan jumlah sperma