Cirit-birit antara simptom awal varian Omicron
Cirit-birit antara simptom awal varian Omicron
[SUMBER: https://pakdin.my/?p=154532]
NEGARA kini sudah berada sepenuhnya dalam gelombang baharu Covid-19 yang dicetuskan varian Omicron.
Ia dibuktikan dengan peningkatan kes yang melonjak lebih 10,000 semalam.
Lebih membimbangkan, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjangkakan, jumlah kes harian akan terus mencanak naik dan bakal mencecah 15,000 tidak lama lagi.
Baca juga Kisah Dr Li Wenliang, wira pertama beri amaran Covid-19, genap 2 tahun meninggal dunia
Sebenarnya, bukan sahaja Malaysia, lapor Nation Thailand, jangkitan Covid-19 melibatkan varian Omicron mula mengancam 20 negara di Asia seperti Indonesia, Singapura dan Thailand.
Pun demikian, perkara yang dirisaukan oleh pakar perubatan sedunia adalah pandangan bahawa Omicron tidak berbahaya seperti Delta.
Persepsi itu nampaknya menyebabkan masyarakat tidak peka dengan situasi semasa.
Bercakap mengenai varian Omicron, seorang Pakar Pulmonari dari Hospital Persahabatan, Indonesia, Dr Erlina Burhan tampil menjelaskannya lebih terperinci.
Ujarnya, kebanyakan pesakit yang mendapat jangkitan Omicron tidak mengadu simptom demam seperti pesakit yang menderita dengan varian Delta.
Namun, ramai yang mengadu mereka mengalami masalah batuk dan gangguan pada tekak (sakit-sakit dan gatal-gatal).
"Ia disusuli dengan hidung tersumbat seperti hidung berair atau berair dan kadang-kadang sakit kepala," ujarnya kepada Detik Health.
Dalam pembentangannya, Dr Erlina mendedahkan, gejala awal pesakit selepas dijangkiti varian Omicron adalah badan menjadi lesu, lemah dan mudah letih.
"Justeru, sebaik gejala Omicron muncul, jangan sesekali membiarkan sahaja terutama jika terjadi kepada warga emas dan individu yang mempunyai penyakit bawaan komorbid atau tidak terkawal.
"Seandainya diendahkan, gejala berkenaan (Omicron) yang muncul boleh menjadi lebih teruk. Seseorang boleh sesak nafas kerana keradangan mungkin mula berlaku di dalam paru-paru," sarannya.
CIRIT-BIRIT
Dalam satu artikel berasingan, Detik Health yang memetik penulisan dari John Hopkins Medicine, Amerika Syarikat berkata, simptom Omicron lebih ringan berbanding dengan varian lain.
Salah satunya adalah berlakunya cirit-birit semasa membuang air besar.
Hospital terkemuka dunia itu mendedahkan, kira-kira 20 peratus pesakit COVID-19 berkemungkinan mengalami simptom berkenaan (cirit-birit) terlebih dulu selepas terdedah kepada Omicron.
"Kecurigaan terhadap jangkitan Covid-19 juga boleh menjadi lebih besar jika cirit-birit disertai dengan gejala seperti selesema yang lain," katanya.
John Hopkins Medicine turut berkongsi pengalaman seorang doktor dari San Francisco, AS, Dr Robert Bob Wachter yang menceritakan pengalaman anaknya yang dijangkiti Omicron.
"Anak saya mengalami simptom seperti selesema sebaik bangun dari tidur. Gejala lain termasuk sakit tekak, batuk kering, sakit otot dan menggigil.
"Sepatutnya selepas mendapat vaksin penggalak beliau baik-baik saja, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Anak saya memang cemas kerana dijangkiti varian Omicron," kata Dr Wachter dalam ciapan menerusi akaun akaun Twitternya.
Justeru, kepada anda di luar sana, terus patuh kepada prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan.
Jangan sesekali ambil ringan. Lakukan ujian RTK kendiri jika tidak sedap badan atau terlalu terdedah dengan persekitaran terbuka. #kitajagakita
ANEKDOT
Secara ringkasnya, berikut adalah tanda-tanda umum pesakit yang dijangkiti varian Omicron:
i. Selsema
ii. Sakit kepala
iii. Kepenatan
iv. Bersin
v. Sakit tekak
Selain itu, gejala Covid-19 yang paling banyak diadukan pesakit varian Omicron adalah:
i. Suara serak
ii. Menggigil
iii. Sukar untuk fokus
iv. Pening kepala
v. Hilang nafsu makan
Comments
Post a Comment