[Video] 14 pemancing, empat kru selamat selepas terapung enam jam di laut


[Video] 14 pemancing, empat kru selamat selepas terapung enam jam di laut 

Baca selanjutnya di: https://pakdin.my/155378

LANGKAWI: Seramai 14 pemancing dan empat kru berhadapan detik cemas apabila terapung selama hampir enam jam di laut selepas bot yang dinaiki mereka karam di kedudukan sekitar 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah di pulau ini semalam.

Bot yang dinaiki mangsa karam selepas air masuk ke dalam bot selepas papan di bahagian depan bot tersebut pecah kira-kira pukul 1.30 petang. 

Dalam tempoh tersebut mereka yang memakai jaket keselamatan hanya berpaut pada  pelampung.

Tekong bot Empayar Mahsuri, Baseri Aziz, 55, berkata, kejadian berlaku ketika cuaca buruk dengan ombak besar melebihi lima meter dan bot yang mereka naiki bergerak dalam kelajuan hanya 3 hingga 4 knot.

Menurutnya, mereka ketika itu berada kira-kira 14 kilometer dari daratan.

“Bot yang kami naiki karam selepas air masuk ke dalam bot apabila papan di bahagian depan bot pecah,” katanya ketika ditemui di Jeti Maritim Bukit Malut di sini malam tadi.

Salah seorang pemancing, Mohd. Syahrin Samsudin, 43, berkata, dia dan rakannya terapung selama enam jam sebelum diselamatkan oleh  nelayan bot tunda yang melalui tempat kejadian pada pukul 7.15 malam.

Menurutnya, dia lega selepas nelayan bot tunda tersebut datang membantu menyelamatkan mereka yang sedang terapung di laut selepas beberapa bot nelayan yang melalui kawasan itu sebelum itu tidak menyedari keadaan mereka itu.

“Ketika kami diselamatkan keadaan ketika itu sudah gelap dan kami bernasib baik apabila nelayan bot pukat tunda itu menyalakan lampu ke arah kami yang sedang terapung.

“Mungkin Allah bagi petunjuk kepada bot yang nak selamat kami itu setelah kami sentiasa azan dan berdoa agar kami dilindungi dan selamat,” ujarnya.

Mohd. Syahrin memberitahu, mereka mula mengikut trip memancing selama empat hari dengan menaiki itu sejak Khamis lalu dan dijadualkan pulang ke Jeti Kuala Perlis, Perlis  hari ini.

“Kejadian itu berlaku ketika kami sedang dalam perjalanan pulang selepas mendapati keadaan cuaca semakin buruk,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, kapal Maritim Tenggol dan Bot Penyelamat 5 yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat telah mengambil kesemua 18 pemancing dan kru tersebut untuk dibawa ke Jeti Bukit Malut.

“Dua daripada pemancing itu mengalami kecederaan iaitu seorang dipercayai patah kaki dan seorang lagi cedera tangan kiri.

“Pemancing dan kru bot yang lain tidak mengalami kecederaan, namun mereka dibawa ke Hospital Sultanah Maliha di sini untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.


Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

Racun perosak dalam makanan mengurangkan jumlah sperma