[Video] Wanita rentung, terperangkap dalam rumah terbakar di Tambunan
[Video] Wanita rentung, terperangkap dalam rumah terbakar di Tambunan
TAMBUNAN - Seorang wanita rentung selepas terperangkap dalam kebakaran rumah di Kampung Tikolod, di sini, tengah malam Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa, Norhabibah Awang, 30, ditemukan rentung di ruang tamu selepas dipercayai terjatuh dari biliknya di tingkat atas.
Bagaimanapun, sembilan lagi ahli keluarganya sempat menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Desmond Micky @ Dominic berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 12.25 tengah malam.
"Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis kayu kekal dan terbakar 90 peratus. Operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan menggunakan tangki jentera dan pili bomba terdekat.
"Terdapat 10 penghuni di dalam rumah terbabit bagaimanapun seorang wanita dipercayai terperangkap sebelum mayatnya ditemui rentung di ruang tamu rumah berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Desmond turut dimaklumkan bahawa tiada liputan Rangkaian Trunk Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) di lokasi kejadian menyebabkan pihaknya sukar untuk melaporkan situasi semasa.
"Operasi kemudian ditamatkan pada jam 1.45 pagi selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Comments
Post a Comment