Cabul kaum sejenis: Tukang cuci wanita dijel empat tahun, denda RM3,000


Cabul kaum sejenis: Tukang cuci wanita dijel empat tahun, denda RM3,000

https://huluselangor.com/?p=174774

HULU SELANGOR – Nasib seorang tukang cuci wanita yang mencabul kaum sejenisnya di sebuah tandas berakhir di tirai besi selepas dipenjara empat tahun dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.

Mahkamah memutuskan demikian selepas tertuduh yang dikenali sebagai Ita yang merupakan warga Indonesia menukar pengakuan kepada bersalah pada 15 Ogos lalu.

Berdasarkan alasan penghakiman mahkamah yang dikeluarkan pada 26 Disember lalu, Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret berkata, fakta kes menunjukkan tertuduh mencabul kehormatan dengan menyentuh alat sulit mangsa berusia 29 tahun.

Menurut mahkamah, perbuatan tersebut bukan sahaja mengaibkan, malah mendatangkan trauma kepada mangsa.

“Mahkamah mengambil kira perbuatan ini adalah jenayah serius yang menjatuhkan maruah mangsa.

“Mahkamah menimbangkan faktor rayuan, hujahan pihak pendakwaan, keseriusan kesalahan dan kepentingan awam dalam menentukan hukuman ke atas tertuduh.

“Kesalahan tertuduh mengaibkan mangsa dan mahkamah perlu memberi hukuman berbentuk pengajaran supaya tidak diulangi pada masa hadapan.

“Hukuman penjara selama empat tahun bermula dari tarikh tangkap (12 Jun 2023) dan denda RM3,000 adalah setimpal, munasabah serta berpatutan dengan kesalahan dilakukan tertuduh terhadap mangsa,” katanya.

Siti Fatimah berkata, hukuman itu juga selaras dengan Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang mana ia bukan saja memberi pengajaran kepada tertuduh, malah terhadap masyarakat secara amnya supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Justeru hukuman pemenjaraan dan denda yang dikenakan terhadap tertuduh mampu memberi pengajaran kepada tertuduh supaya menjadi manusia yang lebih bertanggungjawab pada masa hadapan serta bertaubat atas dosanya yang lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 29 tahun dengan niat dan maksud melakukan suatu perbuatan mencabul kehormatannya.

Kesalahan itu dilakukan dalam tandas wanita sebuah premis di daerah ini pukul 10.47 pagi pada 10 Jun tahun lalu yang didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu. 

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

Racun perosak dalam makanan mengurangkan jumlah sperma