Tiga penjawat awam ditahan SPRM terima rasuah RM12,000


Tiga penjawat awam ditahan SPRM terima rasuah RM12,000

https://pakdin.my/174867/

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan reman tiga penjawat awam kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM12,000 daripada sebuah syarikat.

Suapan tersebut dilakukan berhubung kerja-kerja penurapan jalan yang tidak mengikut spesifikasi.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek yang bekerja di sebuah agensi pihak berkuasa tempatan (PBT) ditahan sekitar pukul 7.45 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM, di sini.

“Ketiga-tiga suspek ini telah meminta dan menerima wang rasuah daripada syarikat berkenaan selepas mendapati kerja-kerja penurapan jalan yang dilaksanakan sekitar April hingga Jun tahun lalu, tidak mengikut spesifikasi sebagaimana ditetapkan.

“Wang rasuah keseluruhannya sekitar RM12,000 kemudian dimasukkan ke dalam akaun peribadi ketiga-tiga suspek sebagai balasan agar kompaun tidak dikeluarkan kepada syarikat berkenaan,” katanya.

Susulan penahanan itu, ketiga-tiga suspek berusia sekitar 30-an hingga 40-an itu direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 16 Januari.

Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Atiqah Mohamed selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap ketiga-tiga suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga pasangan negara mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia

Malaysia Milk tarik balik penjualan produk Marigold HL