Hukuman bekas Hakim Mahkaman Sesyen Kuala Kubu Bharu dikurangkan


Hukuman bekas Hakim Mahkaman Sesyen Kuala Kubu Bharu dikurangkan

https://pakdin.my/174770/

SHAH ALAM – Seorang bekas hakim yang sebelum ini dipenjara enam bulan dan denda RM25,000 atas kesalahan rasuah enam tahun lalu, bernasib baik apabila hukumannya itu dikurangkan kepada penjara sehari dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Tinggi.

Ia selepas Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Julai 2022, membenarkan rayuan bekas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, Azmil Muntapha Abas, 50, selaku perayu untuk mengetepikan hukuman yang diputuskan Mahkamah Sesyen pada 19 Oktober tahun yang sama.

Bagaimanapun dalam rayuan itu, perayu hanya berjaya mengurangkan hukuman namun gagal mengetepikan sabitan bersalah atas pertuduhan tersebut.

Menerusi alasan penghakiman yang dikeluarkan Hakim, Hasbullah Adam pada Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi mendapati tidak wujud alasan bermerit untuk mengganggu gugat keputusan Mahkamah Sesyen berhubung sabitan salah (no sufficient ground for interfering) tersebut menurut seksyen 316 Kanun Tatacara Jenayah.

Menurut beliau, sabitan bersalah yang diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini adalah selamat, maka mahkamah ini memutuskan bahawa rayuan Azmil Muntapha untuk mengetepikan sabitan ditolak.

“Mahkamah ini membenarkan rayuan perayu atas hukuman, dengan mengenepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM25,000 dengan menggantikannya kepada pemenjaraan sehari dan denda sebanyak RM12,000.00 (jika tidak bayar 3 bulan penjara),” kata hakim itu.

Hujahan lanjut dalam alasan penghakiman itu, Hasbullah berkata, terdapat merit bagi rayuan hukuman perayu termasuk tiada peruntukan mandatori bahawa pemenjaraan wajib diberikan dan elemen utama kesalahan adalah menerima barang berharga tanpa balasan.

“Berbeza dengan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan,” kata hakim itu lagi.

Mengikut pertuduhan, Azmil Muntapha sebagai Hakim Mahkamah Sesyen memperoleh untuk dirinya barang berharga iaitu wang tunai RM5,000 tanpa balasan, yang mana tertuduh mengetahui ada mengendalikan kes jenayah bagi enam tertuduh.

Enam tertuduh berkenaan adalah Chin Yat Soong, Yap Chiew Tat, Chin See Shak, Pang Kooi Fook, Yap Swee Ming dan Chin Chee Keong yang masing-masing melakukan kesalahan di bawah subseksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289).

Kesalahan itu, dilakukan di Maybank Setia Alam 2, Shah Alam pada 10 Mei 2018, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga pasangan negara mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia

Malaysia Milk tarik balik penjualan produk Marigold HL