[VIDEO] Lelaki tunjal kepala pemandu wanita direman tiga hari


[VIDEO] Lelaki tunjal kepala pemandu wanita direman tiga hari

BACA seterusnya di: https://pakdin.my/165730

TAPAH – Lelaki yang dipercayai mengasari seorang pemandu wanita dalam insiden berhampiran pusat rekreasi dekat Lata Iskandar di sini semalam, direman tiga hari bermula hari ini.

Perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah terhadap suspek berusia 29 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Hanum Mohmad Shah di Mahkamah Majistret Tapah di sini.

Siti Hanum membenarkan permohonan pihak polis untuk menahan reman lelaki yang bekerja sebagai penyelia kilang di Serdang, Selangor itu sehingga Jumaat ini.

Reman terhadap lelaki itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323/506/509 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, lelaki yang diiringi pegawai polis dan memakai baju lokap berwarna ungu itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Tapah pada pukul 8.35 pagi.

Menerusi rakaman video tular berdurasi 59 saat, seorang lelaki dipercayai suspek dilihat turun dari kereta Proton Persona dan mengetuk cermin kereta dipandu mangsa.

Wanita itu yang menurunkan cermin keretanya untuk berbincang telah dimarahi oleh suspek dengan kata-kata kesat sebelum dia bertindak memukul kepala mangsa.

Tangkapan ke atas lelaki terbabit dibuat susulan laporan polis dibuat wanita berusia 24 tahun itu semalam di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh.


Berita sebelumnya:

Bukan hanya pukul kepala, penyelia kilang turut ugut pemandu wanita

Ipoh: Lelaki yang bertindak mengasari seorang pemandu wanita semasa dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Tapah yang videonya tular di media sosial berjaya dikesan polis di sekitar Serdang, Selangor hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata lelaki berusia 29 tahun bekerja sebagai penyelia sebuah kilang di Serdang itu akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323/506/501 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan polis pada 10 pagi daripada seorang wanita berusia 24 tahun di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh di Selangor mengenai insiden itu.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 5.33 petang semalam semasa pengadu dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah bersama adik lelakinya yang berusia 17 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kejadian dikatakan berlaku akibat daripada salah faham di atas jalan raya sekitar Pusat Peranginan Lata Iskandar, dan apabila kedua-dua kereta itu berhenti, penyelia kilang itu turun dari kenderaannya dan mengetuk cermin kereta pengadu.

Mohd Yusri berkata apabila pengadu membuka cermin keretanya, lelaki itu memarahi pengadu dan tiba-tiba memukul kepala pengadu serta mengeluarkan kata-kata ugutan.

Beliau berkata hasil semakan mendapati nombor pendaftaran kereta yang dinaiki lelaki itu didaftarkan atas nama seorang wanita yang beralamat di Tanjung Karang, Selangor.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 59 saat yang memaparkan seorang lelaki keluar daripada kereta yang dipandunya dan mengetuk cermin kenderaan di belakangnya sebelum memarahi pemandu wanita serta memukul kepalanya.

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga pasangan negara mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia

Malaysia Milk tarik balik penjualan produk Marigold HL