[VIDEO] PKR menang kes saman, mahkamah perintah Zuraida bayar RM10 juta


[VIDEO] PKR menang kes saman, mahkamah perintah Zuraida bayar RM10 juta

BACA seterusnya: https://pakdin.my/166019

Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zuraida Kamaruddin diperintah oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini membayar RM10 juta kepada PKR kerana melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan saman PKR itu selepas mendapati bon tersebut merupakan kontrak yang sah dan mengikat.

Mahkamah juga memerintahkan Zuraidah untuk membayar kos RM50,000.

Saman itu difailkan Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 28 Sept 2020 untuk menuntut RM10 juta daripada Zuraida kerana didakwa melanggar syarat bon yang mengikatnya dengan parti itu.

Kenyataan tuntutan PKR mengatakan bahawa Zuraida telah menandatangani bon RM10 juta berdasarkan terma dan syarat yang ditetapkan. 


Hakim Akhtar yang menyampaikan keputusan itu melalui prosiding secara dalam talian, berkata hujah Zuraida bahawa beliau menandatangani bon itu dalam keadaan dures atau paksaan adalah tidak berasas.

“Bukti menunjukkan beliau menandatangani bon itu dengan pengetahuan penuh mengenai kandungannya dan menandatanganinya secara sukarela yang beliau mahu bertanding dalam pilihan raya itu atas tiket PKR,” katanya.

Hakim seterusnya berkata dakwaan Zuraida bahawa jumlah RM10 juta itu tidak seimbang dengan jumlah yang dibelanjakan untuk pencalonan tersebut, adalah tidak berasas dan merupakan tindakan selepas pemikiran semula.

“Ini kerana defendan (Zuraida) sendiri telah mengakui bahawa plaintif telah membelanjakan jumlah melebihi RM10 juta untuk pencalonan itu.

“Ini adalah pengakuan yang jelas di pihak defendan bahawa dia tidak boleh tarik balik. Mahkamah selanjutnya memutuskan RM10 juta itu adalah jumlah yang munasabah kerana bon itu adalah untuk menghalang ahli terutamanya calon yang dipilih, bertindak bertentangan dengan kepentingan parti pada masa pilihan raya,” katanya.

Hakim Akhtar selanjutnya berkata plaintif (PKR) telah mengemukakan bukti yang cukup mengenai penamatan keahlian defendan oleh Jawatankuasa Pusat plaintif.

Beliau juga berkata jumlah RM10 juta itu bukan keterlaluan tetapi munasabah sebagai pencegahan bagi mengelak ahli parti bertindak bertentangan dengan kepentingan parti.

“Jumlah yang rendah tidak dapat bertindak sebagai pencegahan,” kata hakim.

Hakim Akhtar berkata mahkamah mengambil maklum defendan telah berjanji untuk membayar RM10 juta sekiranya keahlian beliau ditamatkan.

“Mahkamah mendapati bon itu adalah perjanjian sah yang mengikat defendan untuk membayar RM10 juta seperti yang dijanjikan sekiranya keahlian beliau ditamatkan,” katanya sambil menambah reputasi keahlian defendan adalah disebabkan oleh salah laku defendan sendiri.

Justeru, mahkamah membenarkan tuntutan plaintif sebanyak RM10 juta terhadap defendan dengan kos RM50,000 dibayar oleh defendan kepada plaintif, kata hakim.

Zuraida diwakili peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid manakala PKR diwakili peguam Navpreet Singh.

Sementara itu, Muhammad Nizamuddin memberitahu Bernama mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.


Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga pasangan negara mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia

Malaysia Milk tarik balik penjualan produk Marigold HL