[VIDEO] Zahid Hamidi serik dengan PAS, tiada langkah tawar sertai Kerajaan Perpaduan


[VIDEO] Zahid Hamidi serik dengan PAS, tiada langkah tawar sertai Kerajaan Perpaduan

BACA seterusnya di: https://pakdin.my/165448

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tidak ada sebarang langkah menawarkan PAS untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, jika ada yang mendakwa bertemu pemimpin atau lapisan kepemimpinan parti berkenaan, pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak pernah menganggapnya sebagai perjumpaan rasmi.

"Perkara berkenaan tidak pernah diperbincangkan secara rasmi dalam kalangan 9 pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan, tidak juga pernah dibincangkan dikalangan pengerusi gabungan parti.

"Jika ada pun yang mendakwa bertemu pemimpin atau lapisan kepemimpinan parti berkenaan itu kami tidak pernah menganggap sebagai satu perjumpaan rasmi dan tidak ada satu move (langkah) dibuat ke arah itu," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, berkata berdasarkan pengalaman sebelum ini tidak ada parti dalam Kerajaan Perpaduan akan mempercayai PAS dan janji parti itu.


"Apapun dakwaan atau kenyataan dikeluarkan oleh mana-mana pihak yang perasan kononnya mereka sangat-sangat diperlukan, yang penting adalah mereka harus memperlihatkan dalam perbahasan di Dewan Rakyat yang sedang bersidang.

"Atau perbahasan ketika akta tertentu dibentangkan atau dalam sidang akan datang sewaktu pembentangan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 atau pembentangan Belanjawan pada Oktober ini, buktikan dahulu," katanya

Beliau secara peribadi turut memaklumkan sudah serik dengan PAS.

"Mereka (PAS ) sudah berkahwin secara mutaah dalam bidang politik ertinya kahwin sementara dan setakat ini tidak ada parti di kalangan kami yang percaya sebab mereka tidak mengotakan janji mereka, ikrar dan piagam yang sudah dipersetujukan bersama.

"Saya fikir buat sementara waktu ini kita lupakanlah soal itu," katanya.

Ahmad Zahid berkata, kestabilan politik yang sedang wujud di Malaysia didokong Kerajaan Perpaduan, tetap meraikan perbezaan pendapat.

"Ia mesti mempunyai tatasusila tangani perbezaan pendapat mengikut tasauf dan akhlak, kalau mereka (PAS) faham aspek berkenaan.

"Oleh yang demikian mana-mana agenda babitkan dasar atau pelaksanaan demi kepentingan negara, seharusnya mereka tidak cari titik perbezaan tapi titik persamaan demi kepentingan negara keseluruhannya," katanya.

Sabtu lalu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa ada tawaran daripada kerajaan untuk PAS bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan.

Katanya, tawaran itu dibuat kerana PH khususnya PKR menyedari kedudukannya tidak kukuh, apatah lagi jumlah kerusi Melayu parti berkenaan tidak sebanyak PAS.

Semalam pula, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan perkara sama dengan mendedahkan ada pihak menemui beliau mengemukakan tawaran itu.

Dalam pada itu ditanya mengenai kenyataan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, menyifatkan beliau "menggelupur" kerana bimbang kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, Ahmad Zahid secara sinis mengalu-alukan pendapat itu.

"Saya mengalu-alukan pendapat yang berdasarkan mimpi di siang hari. Saya beriltizam memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan yang ada," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga pasangan negara mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia

Malaysia Milk tarik balik penjualan produk Marigold HL