Bekalan selesa bukan jaminan Selangor ke suku akhir - Cheng Hoe


Bekalan selesa bukan jaminan Selangor ke suku akhir - Cheng Hoe

Baca seterusnya di: https://pakdin.my/166594

Ketua Jurulatih Selangor FC Tan Cheng Hoe tidak menganggap kelebihan tiga gol menjelang aksi timbal balik menentang PDRM FC, menjamin tempat skuad Gergasi Merah ke pusingan suku akhir Piala Malaysia 2023.

Pengendali berusia 55 tahun itu berkata anak buahnya perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan daripada PDRM yang pastinya akan bermain bermati-matian bagi membalas dendam.

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan itu berkata jadual padat pasukan itu yang akan bermain dua perlawanan Liga Super sebelum kembali bertemu PDRM 19 Ogos ini, juga mampu mempengaruhi pertembungan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu nanti.

“Dalam bola sepak 4-1 tidak menjamin kita layak ke pusingan seterusnya, apatah lagi dengan jadual padat bulan ini dan kita perlu bersedia dengan situasi berbeza pada perlawanan timbal balik. Kita perlu kekalkan fokus dan yang penting setiap pemain perlu tingkatkan lagi prestasi masing-masing.

“Kalau kita tengok pada separuh masa pertama (malam tadi), sebagai jurulatih saya tidak puas hati dengan pemain yang diturunkan, disebabkan itu kita lihat perubahan besar pada separuh masa kedua,” katanya pada sidang media selepas perlawanan pertama pusingan 16 terbaik di Stadium MBPJ, malam tadi.

Pada pertembungan itu, persembahan hambar sepanjang separuh masa pertama membolehkan PDRM mendahului 1-0 menerusi Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak pada minit ke-25, namun Selangor bangkit menjaringkan empat gol pada babak kedua untuk meraih kemenangan bergaya.

Empat gol Selangor masing-masing dijaringkan penyerang import Ayron Del Valle Rodriguez pada minit ke-57 dan minit ke-63 diikuti Harith Haiqal Adam Afkar (minit ke-74) dan Yohandry Jose Orozco Cujia pada masa kecederaan babak kedua.

“Sikap dan keinginan pemain untuk memenangi perlawanan cukup penting dan inilah yang perlu kita bawa dalam setiap perlawanan,” kata Cheng Hoe.

Sementara itu, pengendali sementara The Cops, Eddy Gapil@Edwin berkata moral pemainnya terjejas selepas dibolosi gol pertama sekali gus mengubah keseluruhan perlawanan, namun optimis pasukannya masih mempunyai peluang pada aksi timbal balik.

“Kami cuba pertahankan kedudukan 1-0 tetapi pada separuh masa kedua berpunca daripada gol pertama Selangor disebabkan kesilapan mudah, nampak moral pemain agak terganggu dan ia menyebabkan kami terus dibolosi selepas itu.

“Dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku, kami masih ada masa untuk membuat persiapan dan memperbaiki kelemahan. Kami akan beri segalanya untuk perlawanan kedua,” katanya.


Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

Racun perosak dalam makanan mengurangkan jumlah sperma