[VIDEO] Nahas N28JV: Bedah siasat selesai, jenazah diserah kepada wakil keluarga


[VIDEO] Nahas N28JV: Bedah siasat selesai, jenazah diserah kepada wakil keluarga

BACA seterusnya di: https://pakdin.my/166732

Polis sudah mengesahkan identiti semua 10 mangsa nahas kapal terbang terhempas di Bandar Elmina, Khamis lepas, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata sembilan lagi mangsa adalah Shahrul Kamal Roslan, 41, Heikal Aras Abdul Azim, 45, Mohammad Taufiq Mohd Zaki, 37, Khairil Azwan Jamaludin, 43, Shaharul Amir Omar, 49, Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi, 35, Idris Abdul Talib @ Ramali, 41, Sharipudin Shaari, 51, dan Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32.

“Saya ingin maklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan Jabatan Kimia Malaysia telah selesai proses bedah siasat dan ujian pengecaman.

“Kita telah terima ujian DNA hampir kesemua sampel yang dihantar sebelum ini. Kita telah putuskan semalam yang semua mangsa yang terlibat dalam nahas itu telah dikenal pasti dan bersedia untuk diserahkan kepada wakil keluarga pada pagi ini,” katanya dalam sidang media terakhir di Jabatan Forensik HTAR di sini hari ini.

Katanya proses pengecam dan padanan yang digunakan adalah kaedah cap jari, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan odontologi (pengecaman identiti melalui gigi).


Hussein turut mengesahkan bahawa tiada lagi mangsa lain yang terlibat selain daripada 10 mangsa nahas tersebut. 

“Saya juga mengesahkan bahawa tiada lagi mana-mana individu yang terlibat dan terkorban dalam nahas itu, hanya 10 mangsa ini sahaja. Lapan mangsa dari dalam pesawat dan dua di  jalan raya berkenaan,” katanya.

Beliau berkata proses pengecaman serta padanan DNA agak sukar, dan pada mulanya ia dijangka mengambil masa sehingga tiga hari untuk disiapkan.

“Walaupun begitu, saya dapati semua proses itu dipermudahkan dan inilah yang paling cepat saya lakukan, kita dapat selesaikan sehari awal kerana (mulanya) kita jangka selesai pada hari Isnin. Alhamdulillah, banyak urusan itu dipermudahkan dan ia selesai pada tengah malam tadi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata proses pengurusan jenazah seterusnya diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sehingga selesai.

“Pasukan JAIS akan menerima jenazah ini pada pagi ini dan akan uruskan proses pengurusan mayat sehingga selesai. Solat jenazah akan diatur dengan kenderaan van jenazah yang telah diminta waris atau keluarga mereka selain polis akan menyedia polis pengiring sehingga ke destinasi,” katanya.

Tragedi yang berlaku pada 2.48 petang Khamis lepas menyaksikan sebuah pesawat ringan terhempas dan mengorbankan kesemua dua kru dan enam penumpang selain meragut nyawa dua pengguna jalan raya masing-masing seorang pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing yang melalui tempat kejadian.

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga pasangan negara mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia

Malaysia Milk tarik balik penjualan produk Marigold HL