[VIDEO] Kes pinda laporan audit: Mahkamah Rayuan kekal pembebasan Najib, Arul Kanda


[VIDEO] Kes pinda laporan audit: Mahkamah Rayuan kekal pembebasan Najib, Arul Kanda

BACA seterusnya di: pakdin.my/167424

KENYATAAN MEDIA

KEPUTUSAN MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA UNTUK MEMBATALKAN RAYUAN TERHADAP KEPUTUSAN YANG MELIBATKAN MANTAN PERDANA MENTERI MALAYSIA, DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN HJ ABD RAZAK

Putrajaya, 12 September 2023 – Pihak kami dengan sukacita ingin memaklumkan bahawa Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Malaysia secara rasminya telah membatalkan rayuan yang telah difailkan oleh pihak Jabatan Peguam Negara (Attorney General’s Chambers) (“AGC”) terhadap anakguam kami, iaitu mantan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Hj Abd Razak (“Dato’ Sri Najib”), berkaitan pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan ke atasnya di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) yang dimulakan sejak tahun 2018.

Bagi menyegarkan semula ingatan masyarakat Malaysia, rayuan yang dirujuk di atas merupakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Mac 2023 yang lalu yang mana Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan untuk melepas dan membebaskan anakguam kami tanpa perlu memanggil saksi pembelaan – dalam erti kata lain, tiada kes prima facie yang telah berjaya dibuktikan oleh pihak Pendakwaan.



LATAR BELAKANG KES

Pada 12 Disember 2018, Dato’ Sri Najib telah dituduh di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana telah kononnya menyalahgunakan kuasanya dengan mengarahkan pindaan dibuat ke atas laporan Audit Kerajaan bagi syarikat 1MDB pada bulan Februari 2016 untuk kepentingan dirinya sendiri. Didakwa bersama-sama anakguam kami ialah Encik Arul Kanda, yang mana beliau telah diwakili oleh pasukan pembelaan yang berasingan.

Dalam perbicaraan tersebut, pasukan Pendakwaan telah diketuai oleh mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala pasukan Pembelaan Dato’ Sri Najib pula telah diketuai oleh Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.

Pihak Pendakwaan telah memanggil seramai enam-belas (16) orang saksi pendakwaan untuk membuktikan pertuduhan-pertuduhan tersebut. Namun, sepanjang perbicaraan berlangsung, sedikit demi sedikit berdasarkan kenyataan yang diberikan oleh saksi-saksi pendakwaan yang dipanggil sememangnya menunjukkan bahawa bukan sahaja pindaan yang dibuat ke atas laporan audit tersebut adalah pindaan yang tidak penting, remeh dan kecil, malah bekas Ketua Audit Negara pada ketika itu, Tan Sri Ambrin Buang telah menegaskan bahawa beliau telah bertindak serta menjalankan tugasnya tanpa menerima sebarang tekanan mahupun arahan daripada mana-mana pihak. Secara ringkasnya, tiada sebarang salahlaku/penyalahgunaan kuasa dari pihak anakguam kami langsung dalam perkara ini.

Tambahan pula, pendedahan sewaktu perbicaraan menyatakan bahawa bekas Ketua Peguam Negara/Pendakwa Raya iaitu Tan Sri Tommy Thomas, telah secara pramatang mendakwa anakguam kami sebelum siasatan dimuktamadkan dan perkara ini telah secara dasarnya menjejaskan integriti pertuduhan yang dikenakan ke atas anakguam kami. Jelas sekali Tan Sri Tommy Thomas sewajarnya harus merenung kembali ke atas segala keputusan yang dibuat olehnya pada ketika beliau menyandang jawatan sebagai Peguam Negara kerana kini, beliau seharusnya bertanggungjawab ke atas keputusan-keputusan tersebut.

Mengambilkira bukti-bukti yang telah dikemukakan sewaktu perbicaraan dalam Mahkamah, khususnya berkenan dengan kenyataan berwibawa yang telah diberikan oleh Tan Sri Ambrin Buang, yang mana pentingnya untuk kami nyatakan di sini bahawa Hakim Perbicaraan sendiri juga telah menyifatkannya sebagai “principled and no-nonsense person” (seorang yang berprinsip dan boleh dipercayai), Hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa pihak Pendakwaan telah gagal untuk mengemukakan bukti-bukti yang dapat meyakinkan Mahkamah bahawa pertuduhan-pertuduhan ke atas kedua-dua Tertuduh adalah wajar dan berasas. Oleh yang demikian, kedua-dua anakguam kami dan Encik Arul Kanda telah selayaknya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan ke atas kedua-dua mereka.

PROSES MAHKAMAH RAYUAN:

Walaupun sememangnya ia merupakan sesuatu yang biasa bagi pihak AGC memfailkan rayuan ke atas sebarang keputusan pembebasan, namun pihak AGC juga mempunyai kebiasaan yang mana AGC akan menyemak semula merit bagi sesuatu rayuan sewaktu Rekod Rayuan disediakan oleh Mahkamah Tinggi. Menurut Seksyen 53 di bawah Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Kaedah 65 di bawah Kaedah-kaedah Mahkamah Rayuan 1994, sekiranya terdapat alasan yang kukuh untuk merayu, pihak Perayu mempunyai masa sepuluh (10) hari dari tarikh Rekod Rayuan diterima dari pihak Mahkamah untuk memfailkan Petisyen Rayuan. Ketiadaan Petisyen Rayuan tersebut akan secara serta-merta menyebabkan rayuan tersebut dibatalkan serta ditolak oleh pihak Mahkamah.

Dalam kes ini, ia adalah jelas bahawa pihak Pendakwaan tidak mempunyai sebarang alasan yang kukuh untuk meneruskan dengan rayuan tersebut, maka oleh sebab itu,  Petisyen Rayuan tidak difailkan. Ini telah kemudiannya menyebabkan pihak Mahkamah Rayuan memutuskan untuk membatalkan kedua-dua rayuan Pendakwaan terhadap keputusan kes Dato’ Sri Najib dan Encik Arul Kanda.

Perkara ini sememangnya menunjukkan, khususnya apabila pihak Pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan dengan rayuan,  bahawa keputusan yang diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi tersebut sememangnya suatu keputusan yang teguh dan tidak boleh disangsi oleh mana-mana pihak. Ia mengukuhkan lagi bahawa kedua-dua anakguam kami dan Encik Arul Kanda sememangnya tidak bersalah dalam kes ini.

Memandangkan terdapat bukti-bukti kukuh yang telah dikemukakan semasa perbicaraan dalam Mahkamah, sememangnya sebarang pertuduhan tidak sepatutnya dikenakan ke atas anakguam kami sejak dari mula lagi. Keputusan untuk mendakwa anakguam kami tersebut telah menimbulkan pelbagai kesulitan dan kesukaran kepada anakguam kami selama tempoh 5 tahun ini – apatah lagi sekiranya rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskannya tersebut diteruskan.

Kami sesungguhnya berterima kasih kepada semua pihak yang sejak dari awal sehingga kini masih tidak berputus-asa untuk memperjuangkan kebenaran serta menegakkan keadilan. Kami seikhlas hati berharap agar keputusan ini akan membenarkan Dato’ Sri Najib dan Encik Arul Kanda meneruskan kehidupan mereka bebas daripada sebarang pertuduhan-pertuduhan yang tidak berasas.


https://youtu.be/19WixyFfbbY

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga pasangan negara mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia

Malaysia Milk tarik balik penjualan produk Marigold HL