Kes Ahmad Zahid: Majlis Peguam tak tahu atau buat-buat tak tahu


 Kes Ahmad Zahid: Majlis Peguam tak tahu atau buat-buat tak tahu

BACA seterusnya di: pakdin.my/167352 -

  • Majlis Peguam putar belit fakta dengan menyebut 'penarikan balik sepenuhnya kes' melibatkan Ahmad Zahid.
  • Peguam Negara boleh 'memberhentikan pertuduhan' di mana-mana peringkat selagi penghakiman belum diberikan oleh mahkamah dan ini termasuk di peringkat selepas kes prima facie telah dibuktikan.
  • Representasi-representasi yang dikemukakan dalam kes Ahmad Zahid memiliki terlalu banyak butiran dan setiap representasi mempunyai lebih 200 muka surat tidak termasuk dokumen sokongan yang dilampirkan.
  •  Peguam Negara serta Jabatan Peguam Negara tidak boleh secara semberono menolak representasi yang dikemukakan oleh mana-mana tertuduh sebaliknya perlu meneliti setiap butiran yang diberikan demi menegakkan proses undang-undang.

Jabatan Peguam Negara, dengan bantuan pelbagai pihak terutama pihak penyiasatan, masih menyiasat kesemua bukti baharu berkaitan kes dana Yayasan Akalbudi (YAB) yang melibatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Peguam Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata sebarang keputusan sama ada mendakwa semula Timbalan Perdana Menteri itu, mendakwa pihak lain yang berkaitan atau sebaliknya akan dibuat selepas siasatan lebih terperinci dan komprehensif selesai.

Beliau berkata jabatan itu tidak pernah menggunakan perkataan 'menarik balik' dalam kes melibatkan Ahmad Zahid sebagaimana yang disebut dalam kenyataan Majlis Peguam Malaysia pada Khamis.

"Dalam hal ini, jabatan ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut yang antara lain menyatakan bahawa jabatan ini kononnya telah dengan sendirinya mencemarkan reputasi dan kredibilitinya.

"Jabatan ini sekali lagi menegaskan bahawa Peguam Negara hanya melaksanakan tugas dan kewajipan beliau sebagaimana diperuntuk di bawah undang-undang sedia ada. Oleh yang demikian, jabatan ini berharap agar semua pihak dapat memberhentikan sebarang spekulasi," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Isnin lepas,  Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana YAB  selepas 114 saksi memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini.

Ahmad Terrirudin juga berkata Peguam Negara dan Jabatan Peguam Negara adalah pihak yang mempunyai kedudukan paling baik dalam membuat keputusan sama ada sesuatu pertuduhan harus diteruskan atau tidak berdasarkan pelbagai faktor.

Beliau berkata ia turut melibatkan laporan daripada pihak penyiasatan dan representasi yang dikemukakan.

"Peguam Negara serta Jabatan Peguam Negara tidak boleh secara semberono menolak representasi yang dikemukakan oleh mana-mana tertuduh sebaliknya perlu meneliti setiap butiran yang diberikan demi menegakkan proses undang-undang.

"Dalam kes berkaitan, keputusan Peguam Negara menggunakan budi bicara beliau di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan tidak sama sekali dibuat tanpa sebarang asas mahupun sewenang-wenangnya apatah lagi akibat campur tangan mana-mana pihak," katanya.

Ahmad Terriruddin berkata representasi-representasi yang dikemukakan dalam kes Ahmad Zahid memiliki terlalu banyak butiran dan setiap representasi mempunyai lebih 200 muka surat tidak termasuk dokumen sokongan yang dilampirkan.

"Oleh itu, sudah tentu Peguam Negara serta jabatan ini perlu mengambil masa untuk meneliti setiap butiran dan dokumen yang disertakan dengan penuh hemah sebelum apa-apa keputusan dan tindakan boleh dibuat," katanya.

Beliau juga berkata Peguam Negara boleh memberhentikan pertuduhan di mana-mana peringkat selagi penghakiman belum diberikan oleh mahkamah dan ini termasuk di peringkat selepas kes prima facie telah dibuktikan.

“Penting juga untuk dinyatakan bahawa ini bukanlah kali pertama sesuatu pertuduhan itu diberhentikan selepas kes prima facie dibuktikan,” katanya.










Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga pasangan negara mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia

Malaysia Milk tarik balik penjualan produk Marigold HL