🎦 Kren tumbang: Kerja pemulihan giat dilaksanakan di landasan Stesen Rawang - KTMB


🎦 Kren tumbang: Kerja pemulihan giat dilaksanakan di landasan Stesen Rawang - KTMB

BACA seterusnya: https://pakdin.my/174209

RAWANG: Kerja-kerja pemulihan di landasan stesen kereta api Rawang yang terjejas susulan kejadian sebuah kren untuk pembinaan projek parkir bertingkat tumbang petang semalam, sedang giat dijalankan dan dijangka siap dalam tempoh 24 jam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata kerja-kerja pembaikan itu melibatkan pemasangan semula kabel yang terputus, penggantian komponen rosak dan proses pengujian bekalan elektrik kepada alat talian atas.

"Berikutan insiden ini, kedua-dua landasan tidak selamat untuk beroperasi dan nilai untuk membaiki kerosakan pada alat talian atas masih sedang dinilai sehingga kerja-kerja baik pulih diselesaikan," katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.

Mohd Rani berkata kejadian kren tumbang itu berlaku pada 5.33 petang di landasan kereta api Kilometer (KM) 355.749 di antara Rawang dengan Kuang, menyebabkan alat talian atas terputus.

"Kren binaan itu mendap di kawasan pembinaan dan menjadi condong ke arah landasan menyebabkan bahagian atas kren telah beralih lalu mengakibatkan sebahagian struktur bahagian kren itu bersama-sama kabel dan komponen patah dan jatuh pada alat talian atas dan landasan kereta api," katanya.

Mohd Rani berkata tiada sebarang kecederaan terhadap penumpang dan kakitangan akibat kejadian itu, namun ia menyebabkan perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter Lembah Klang bagi laluan KL Sentral - Tanjung Malim - KL Sentral serta tren kargo terganggu dan mengalami kelewatan melebihi dua jam daripada jadual asal.

"Jumlah penumpang yang terjejas semalam adalah sebanyak 10,000 orang meliputi 7,000 penumpang komuter dan 3,000 penumpang ETS.

"Oleh itu, sehingga operasi tren kembali pulih, KTMB menjangkakan 20,000 penumpang komuter dan 10,000 penumpang ETS akan terjejas melibatkan 32 perkhidmatan ETS dan 46 perkhidmatan komuter bagi sektor Tanjung Malim - Pelabuhan Klang - Tanjung Malim," katanya.

Mohd Rani berkata sebagai langkah awal, KTMB telah membuat isolasi terhadap bekalan elektrik pada laluan yang terjejas bagi memastikan kawasan insiden selamat untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih dan mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

KTMB juga menyediakan 24 bas perantara kepada para penumpang terjejas untuk membawa mereka ke stesen berdekatan bagi meneruskan perjalanan.

"Buat masa ini, perkhidmatan ETS laluan Padang Besar - Gemas, tren ditamatkan di Stesen Tanjung Malim, (dari stesen itu) penumpang akan dibawa menaiki bas perantara yang disediakan dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Sungai Buloh bagi (membolehkan penumpang) meneruskan perjalanan ke KL Sentral dan Gemas.

"Bagi laluan Gemas - KL Sentral - Butterworth dan Gemas - KL Sentral - Padang Besar pula, penumpang diaturkan menaiki tren ETS dari KL Sentral ke Stesen Sungai Buloh dan seterusnya dibawa menaiki bas ke Stesen Tanjung Malim untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing, dengan menaiki tren ETS di laluan yang tidak terjejas," katanya.

Mohd Rani berkata untuk penumpang yang berhasrat tidak meneruskan perjalanan, mereka boleh mendapatkan pemulangan segera tambang melalui KTMB Wallet, namun perlu berhubung dengan kakitangan syarikat itu di stesen melalui Pusat Panggilan KTMB (03-22671100) atau melayari laman sosial media KTMB.



Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

Racun perosak dalam makanan mengurangkan jumlah sperma