Sultan Selangor titah orang bukan Islam tidak campuri urusan hal ehwal Islam


Sultan Selangor titah orang bukan Islam tidak campuri urusan hal ehwal Islam

https://pakdin.my/174694

Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah demikian susulan cadangan Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal undang-undang Islam.

Menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office hari ini, Sultan Selangor turut bertitah bahawa MKI yang dipengerusikan baginda, memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam.

MKI juga dianggotai oleh pakar-pakar yang arif dalam pelbagai bidang khususnya melibatkan undang-undang dan agama Islam.

Justeru, Sultan Selangor mengharapkan agar ahli politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak terus-menerus mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.

Malah, titah baginda penganut agama lain seharusnya mencontohi umat Islam yang tidak mencampuri hal ehwal agama lain di Malaysia.

Baginda memetik ayat keenam Surah al-Kafirun daripada al-Quran yang bermaksud: "Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku".

Sultan Sharafuddin turut mengambil maklum kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Setiausaha Agong DAP Anthony Loke.

Terdahulu, media melaporkan Loke menegaskan bahawa cadangan Ngeh itu adalah satu kekhilafan mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa khas berkenaan dan DAP komited terhadap prinsip hormat-menghormati dan keharmonian antara agama serta kaum.



Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

Racun perosak dalam makanan mengurangkan jumlah sperma