Menanti kemunculan gunung emas dari Sungai Furat


Menanti kemunculan gunung emas dari Sungai Furat

https://pakdin.my/174697/

JIKA dilihat semula kepada perbualan antara Dajal dan Tamim Ad-Dari pada siaran Addin terdahulu, terdapat beberapa petunjuk paling jelas yang boleh menjadi panduan kepada seluruh umat Islam.

Dajal menyatakan bahawa dia akan keluar apabila keringnya Tasik Galilee atau Tasik Tiberia selain beberapa petunjuk lain, antaranya pokok kurma di daerah Baisan.

Untuk persoalan pertama, Tasik Galilee atau Tasik Tiberia ini sememangnya sedang mengalami pengeringan saban tahun dan dilaporkan oleh media antarabangsa bahawa pengeringan itu semakin kritikal beberapa tahun kebelakangan ini. Laut Galilee yang juga Tasik Gennesaret, Tasik Kinneret, Laut Tiberias atau Tasik Tiberias terletak berdekatan dengan Bukit Golan. Ia adalah tasik air tawar terbesar di Timur Tengah dan memiliki ukur lilit sepanjang kira-kira 53 kilometer (km), kira-kira 21 km panjang dan 13 km lebar.

Tasik itu memiliki keluasan 166 kilometer persegi dan kedalaman maksimum kira-kira 43 meter. Pada kedalaman 209 meter di bawah paras laut, ia tasik air tawar terendah di bumi dan tasik kedua terendah di dunia (selepas Laut Mati iaitu sebuah tasik air masin).

Kinneret terletak jauh di dalam Lurah Gelinciran Besar Jordan, sebuah lembah yang disebabkan oleh pemisahan plat-plat Afrika dan Plat Arab dan punca airnya sebahagian datang daripada mata air bawah tanah meskipun begitu punca utamanya adalah daripada Sungai Jordan yang mana mengalir melaluinya dari utara ke selatan. Keadaan ini bergantung kepada gempa bumi dan pada masa lalu oleh aktiviti gunung berapi. Ini dapat dibuktikan dengan penemuan banyak basalt dan batu igneus lain yang mentaksirkan geologi kawasan Galilee.

Selain Tasik Galilee ini, penanaman kurma di daerah Baisan juga menunjukkan pengurangan pengeluaran yang sangat tinggi jika dibandingkan dengan beberapa dekad lalu.

Setakat pencarian penulis, laporan berhubung pengeluaran kurma di daerah berkenaan begitu terhad, namun terdapat beberapa penulisan yang menyatakan bahawa pokok kurma di daerah itu hampir tidak mengeluarkan buahnya atau berlaku pengurangan jumlah pengeluaran.

Ini juga adalah tanda-tanda akan keluarnya Dajal seperti perbualan dengan Tamim yang direkodkan.

Selain daripada dua petanda berkenaan, salah satu tanda dekatnya kiamat adalah keringnya Sungai Furat. Berdasarkan kepada maklumat daripada Britannica menjelaskan bahawa Sungai Furat yang juga disebut sebagai Sungai Eufrat mempunyai kepanjangan 2,800 km dan ia adalah salah satu daripada dua bahagian sistem sungai Tigris-Eufrat.

Memperihalkan sungai itu dalam geografi, Sungai Furat ini menaik sehingga ke Turki dan mengalir ke tenggara merentasi Syria dan melalui Iraq. Sungai itu terbentuk menerusi pertemuan Sungai Karasu dan Murat di Tanah Tinggi Armenia, Eufrat menuruni antara banjaran utama Pergunungan Taurus ke dataran tinggi Syria.

Ia kemudian mengalir melalui barat Iraq dan tengah untuk bersatu dengan Sungai Tigris. Lembahnya mempunyai pengairan yang banyak pada zaman dahulu dan banyak bandar besar, sebahagian daripada runtuhannya masih kekal, memenuhi tebingnya.

Dengan Tigris, ia mentakrifkan kawasan yang dikenali secara sejarah sebagai Mesopotamia.

Sungai ini banyak memberi gambaran tentang hari kiamat dan ia berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Tidak terjadi hari kiamat itu sehingga Sungai Furat menjadi surut airnya sehingga ternampak sebuah gunung daripada emas. Ramai orang berperang untuk merebutkannya. Maka terbunuh sembilan puluh sembilan daripada seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata 'mudah-mudahan akulah orang yang terselamat itu." (Hadis Riwayat Muslim, No 5152)

Hadis itu jelas memberi gambaran bahawa perebutan bukit emas itu akan berlaku dan pertumpahan darah yang dahsyat akan terjadi kerana mahu merebut kekayaan berkenaan. Rasulullah SAW dalam hadis di atas menjelaskan bahawa daripada 100 orang yang bertempur, 99 orang akan mati dan hanya seorang saja yang hidup. Begitulah dahsyatnya perebutan harta berkenaan dan sebagai umat Islam, Nabi SAW sudah mengingatkan kepada kita semua supaya tidak mengambil harta berkenaan walaupun sedikit.

Sungai Furat adalah sungai terpanjang di Asia Barat. Mengairi tiga negara iaitu Turkiye, Syria dan Iraq. Ia berpunca dari hiliran timur Turkiye, kemudian merentasi Syria, memasuki Iraq dan bertemu ulu sungai Tigris sebelum berakhir di muara Shatt Arab, pesisir Teluk Parsi.

Sungai Furat bersama Sungai Tigris menjadi sumber air dan juga laluan penting. Sehingga hari ini, Furat masih membekalkan air bersih kepada jutaan pengguna sekitar Asia Barat.

Bukti sains juga menunjukkan bahawa sungai itu semakin mengering hasil daripada imej cerapan satelit daripada tahun ke tahun dan ini membenarkan sabda Nabi SAW berhubung pengeringan sungai berkenaan dan akan muncullah bukit emas yang menjadi rebutan.

Laporan media juga banyak menunjukkan bahawa pada hari ini sungai berkenaan sudah mengering sedikit demi sedikit dan kini dikatakan sudah berada pada tahap kritikal.

Terdapat juga ramalan daripada pengkaji barat bahawa sungai berkenaan akan mengering sepenuhnya menjelang 2040, namun ia sekadar ramalan, tetapi apa yang perlu diinsafi adalah pengeringan sungai berkenaan adalah bukti hampirnya kita pada hari ini dengan pengakhiran yang sudah dikhabarkan oleh Baginda Nabi SAW sejak lebih 1,400 tahun lalu.

Dalam satu hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Sudah dekat suatu masa di mana Sungai Furat akan menjadi surut airnya lalu ternampak perbendaharaan daripada emas, maka barang siapa yang hadir di situ janganlah ia mengambil sesuatu pun daripada harta itu." (Hadis Riwayat Bukhari, No 6586 /  Muslim, No 5153)

Melihat kepada semua bukti berkenaan, maka benarlah seperti peringatan serta panduan yang sudah diberikan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad SAW berhubung insiden serta tragedi akhir zaman yang bakal berlaku.

Namun, satu persoalan besar yang perlu dijawab pada hari ini adalah apakah kita sudah bersedia untuk menghadapi zaman kekalutan dan penderitaan berkenaan. Islam menganjurkan kepada kita supaya sentiasa bersedia dengan meningkatkan amal ibadah dan kembali kepada Islam sebenar berlandaskan kepada al-Quran, hadis dan ikutan ulama muktabar.

Sesungguhnya, pengakhiran untuk dunia ini pasti akan berlaku kerana perkara berkenaan sudah pun dinyatakan menerusi banyak firman Allah SWT yang mengingatkan tentang hari kiamat dan manusia akan diadili di padang mahsyar.

Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah akan datang kiamat sehingga matahari terbit dari tempat terbenamnya (dari barat). Apabila matahari terbit dari barat maka orang ramai melihatnya, lantas mereka beriman seluruhnya. Maka itulah saat ketika iman seseorang tidak lagi bermanfaat bagi dirinya yang belum beriman sebelum itu atau belum mengusahakan kebaikan dalam masa imannya." (Hadis Riwayat Bukhari, No 4269)

Oleh itu, tanda kecil Hari Kiamat sudah terlalu banyak di hadapan kita dan segeralah kita bertaubat memohon keampunan atas dosa dan kesilapan yang dilakukan.

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

Racun perosak dalam makanan mengurangkan jumlah sperma