Undang-undang berkaitan goda isteri orang dimansuhkan


Undang-undang berkaitan goda isteri orang dimansuhkan

BACA seterusnya di: https://pakdin.my/174299

Mahkamah Persekutuan di sini hari ini memansuhkan Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang berkaitan menjenayahkan perbuatan lelaki yang menggoda isteri orang, kerana ia tidak berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara berkata, panel hakim berpendapat bahawa seksyen itu adalah bercanggah dengan perlembagaan kerana ia mendiskriminasi secara tidak sah hanya atas alasan jantina, yang bertentangan dengan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

"Seksyen 498 hanya memberi hak kepada suami untuk bergantung kepada peruntukan itu dengan mengenepikan semua hak isteri. Oleh itu ini adalah diskriminasi atas alasan jantina sahaja.

"Hakikat bahawa inilah isu sebenarnya, diterangkan dengan jelas oleh Seksyen 132 Kanun Acara Jenayah, yang menyatakan bahawa 'Tiada mahkamah boleh melihat ada kesalahan di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan, kecuali atas aduan yang dibuat oleh suami kepada perempuan itu," kata Tengku Maimun.

Hakim lain dalam panel itu ialah Hakim Besar Malaya Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Panel itu membuat ketetapan berkenaan selepas membenarkan permohonan seorang ahli perniagaan untuk merujuk persoalan undang-undang berkenaan kepada Mahkamah Persekutuan, sama ada Seksyen 498 adalah tidak berperlembagaan kerana ia bercanggah dengan Perkara 8(1)(2) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kesaksamaan di sisi undang-undang dan diskriminasi jantina.

Tengku Maimun juga berkata, panel itu berpendapat bahawa Seksyen 498 adalah undang-undang sebelum Merdeka atau undang-undang "sedia ada" dalam pengertian Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan dan tidak berupaya untuk pindaan kehakiman di bawah Perkara 162(7) Perlembagaan Persekutuan kerana jika berbuat demikian, ia akan memerlukan pindaan yang meluas, sehingga mengubah ciri-ciri kesalahan itu.

Hakim Tengku Maimun seterusnya berkata, kedua-dua pihak sama ada menerima, atau tidak menafikan, bahawa tujuan utama seksyen itu adalah untuk melihat wanita sebagai harta benda kepada suami mereka, sehinggakan perbuatan memikat mereka dianggap sebagai satu kesalahan.

"Oleh itu, kami berpuas hati bahawa satu-satunya cara yang mungkin untuk membawa Seksyen 498 selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, adalah dengan memansuhkannya secara kehakiman dengan menyeluruh, dan itu yang kami lakukan sekarang.

"Penghakiman kami di sini hendaklah diambil berkuat kuasa secara prospektif. Pengisytiharan ini secara prospektif bertujuan mengekalkan semua pendakwaan terdahulu yang telah pun berlaku.

"Kami dengan ini menyerahkan kes ini kepada Mahkamah Tinggi untuk membuat pengisytiharan dan perintah yang sewajarnya bagi melaksanakan penghakiman ini," katanya.

Ahli perniagaan berusia 53 tahun itu didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 2020 kerana memikat wanita yang sudah berkahwin di sebuah pangsapuri di Selangor pada 2018 selepas laporan polis dibuat oleh suami wanita berkenaan.

Mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan, lelaki itu boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Mac lalu telah membenarkan permohonan lelaki itu merujuk kepada persoalan undang-undang itu kepada Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan oleh mahkamah.

Pada prosiding hari ini, lelaki itu diwakili peguam Jayarubbiny Jayaraj, Jay Moi Wei Jiun dan Puteri Batrisyia Abdul Latif, manakala Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang di pihak pendakwaan. Ketua Polis Daerah Hulu Selangor , Pegawai Kanan Polis, Pegawai Rendah Polis dan Pegawai Awam IPD Hulu Selangor.


Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Tiga pasangan negara mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia

Malaysia Milk tarik balik penjualan produk Marigold HL