[Video] Pusat hiburan tawar khidmat GRO sehingga RM1,000 diserbu


[Video] Pusat hiburan tawar khidmat GRO sehingga RM1,000 diserbu

Sumber: https://pakdin.my/157587 -

KUALA LUMPUR: Kegiatan sebuah pusat hiburan di Jalan Imbi, di sini, yang menawarkan khidmat wanita pelayan pelanggan (GRO) dengan bayaran sehingga RM1,000 terbongkar menerusi serbuan Jabatan Imigresen (JIM), semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya membuat serbuan di pusat hiburan itu kira-kira jam 10 malam tadi.

"Dalam serbuan itu, kami memeriksa seramai 100 individu yang berada di dalam pusat hiburan berkenaan membabitkan 79 individu tempatan serta 21 warga asing.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, kami menahan 25 individu terdiri 21 wanita warga asing serta empat warga tempatan termasuk seorang wanita yang bekerja sebagai pengurus, juruwang serta penjaga premis.

"Seramai 21 wanita warga asing yang ditahan itu membabitkan 19 warga Thailand serta dua warga Vietnam berusia antara 23 hingga 37 tahun yang dipercayai bekerja sebagai GRO," katanya pada sidang media di lokasi serbuan, malam tadi.

Khairul Dzaimee berkata, semakan dilakukan mendapati tiga wanita warga Vietnam yang ditahan adalah pemegang pas lawatan sosial serta isteri kepada individu tempatan dengan pas mereka masih lagi sah sehingga tahun depan.

"Bagaimanapun, risikan dilakukan mendapati mereka bekerja di pusat hiburan ini sebagai GRO. Selain itu, ada di antara wanita warga Thailand yang ditahan mempunyai pasport yang tidak ada cop masuk ke dalam negara.

"Ini mungkin berlaku sama ada ia adalah pasport daripada pejabat kedutaan kerana mereka sudah lama berada lama di Malaysia hingga dokumen itu tamat tempoh dan membuat permohonan baharu.

"Namun, ada juga kemungkinan mereka ini masuk melalui lorong tikus. Sebahagian besar daripada mereka yang ditahan didapati masuk ke negara ini sebelum pandemik Covid-19 dan memberi alasan tidak dapat pulang ke negara asal," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal dilakukan mendapati pusat hiburan itu beroperasi secara sembunyi memandangkan aktiviti hiburan tidak dibenarkan sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Dalam premis ini, ada pentas untuk mempamerkan GRO. Wanita berkenaan akan dipilih pelanggan yang mahu khidmat GRO menemani mereka.

"Pelanggan yang mahu khidmat wanita terbabit melayani mereka di tempat duduk akan dipakaikan dengan selempang dengan tanda harga antara RM100 hingga RM1,000.

"Bagi GRO yang menerima selempang pada harga RM1,000 dibenarkan membawa pulang wanita berkenaan satu malam," katanya yang turut memaklumkan ada aktiviti karaoke di pusat hiburan terbabit.

Katanya, semua warga asing yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 untuk tindakan lanjut.

Comments

Popular posts from this blog

Jadual Perjalanan Dan Tambang KTM Komuter Sektor Utara - Padang Rengas - Bukit Mertajam

Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor, Yang di-Pertuan Agong ke-17

Racun perosak dalam makanan mengurangkan jumlah sperma